SOC tingkatkan kemahiran keusahawanan digital
POKOK SENA, 14 April 2025: Seramai 40 pelajar dan pengajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 (SMKPS2), Kedah, telah menyertai Bengkel Pengurusan Kewangan anjuran Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama pihak sekolah.
Program ini dilaksanakan di bawah geran penyelidikan bertajuk “Digital Opportunities for Socio Economics Empowerment of B40 Entrepreneurs”, yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad bersama ahli penyelidik UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Maslinda Mohd Nadzir dan Prof. Madya Dr. Yuhanis Yusof.
Bengkel ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran keusahawanan digital dalam kalangan pelajar dan pengajar melalui pendedahan kepada aspek pengurusan kewangan perniagaan. Ia juga merupakan kesinambungan daripada sesi terdahulu yang memfokuskan kepada strategi perniagaan kreatif melalui media sosial.
Antara pengisian utama bengkel termasuk pengenalan kepada model perniagaan digital, pengiraan untung rugi, serta penyediaan dokumen dan rekod perniagaan secara digital. Modul latihan turut disediakan bagi menyokong pemahaman dan penglibatan peserta secara aktif.
Bengkel ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Prof. Madya Dr. Idawati binti Ibrahim dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM yang turut memberikan bimbingan praktikal secara langsung kepada peserta.
Menurut beliau, “Pendedahan awal kepada pengurusan kewangan dan rekod perniagaan digital adalah sangat penting bagi generasi muda, khususnya dalam era perniagaan yang semakin berdaya saing. Dengan kemahiran ini, pelajar bukan sahaja mampu memahami asas keusahawanan, malah dapat membina keyakinan untuk menceburi bidang tersebut di masa hadapan.”
Secara keseluruhan, bengkel ini telah memberi impak positif dalam memperkukuh pengetahuan dan kemahiran praktikal peserta dalam bidang keusahawanan serta pengurusan kewangan, selari dengan keperluan dunia digital masa kini. – Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad