Miliki roh halal dalam diri serta nilai-nilai yang terkandung dalam konsep halal
Gambar Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS)
SINTOK, 16 April 2025: Seramai 150 pelajar dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program Syarahan Profesor Adjung yang diadakan pada 14 April lalu di Dewan B, Pusat Konvensyen yang menampilkan Profesor Adjung IBS, Mohd Amri Abdullah.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Syarifah Md. Yusof berkata, program ilmiah ini bertujuan memberikan pendedahan mendalam kepada pelajar mengenai cabaran dan peluang dalam mengurus rantaian bekalan halal di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi memperkukuh peranan UUM sebagai institusi rujukan dalam bidang kepakaran halal global.
Menurutnya, antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian ilmu bersama pelajar mengenai hala tuju kerjaya dalam industri halal, termasuk perkongsian pengalaman unik oleh profesor adjung berkaitan penglibatan beliau dalam pelaksanaan dan pematuhan pensijilan halal di luar negara.
Katanya, pengalaman beliau yang luas dalam industri halal global telah membuka perspektif baharu kepada para pelajar tentang realiti dan potensi besar industri ini, khususnya dalam konteks pasaran antarabangsa.
Profesor Adujung IBS, Mohd Amri dalam syarahannya menekankan beberapa aspek penting yang perlu dimiliki oleh seorang eksekutif halal yang berwibawa.
Menurutnya, seorang eksekutif halal mestilah berani, berintegriti, dan memiliki roh halal dalam diri yakni kefahaman mendalam aspek syariah serta nilai-nilai yang terkandung dalam konsep halal itu sendiri.
Beliau turut menyarankan agar pelajar tidak menghadkan kerjaya mereka semata-mata sebagai eksekutif halal, bahkan digalakkan untuk menceburi bidang keusahawanan halal, menjadi selebriti halal yang membawa pengaruh positif dalam masyarakat, atau meneroka peluang kerjaya di luar negara seperti di Jepun dan Korea, yang kini semakin membuka ruang kepada kepakaran dalam bidang halal.
“Pelajar tidak perlu mengulas atau menyampaikan pandangan dalam hal-hal berkaitan halal tanpa asas ilmu yang sahih, bagi menjaga integriti dan kredibiliti mereka sebagai bakal profesional dalam bidang ini,” katanya.
Program Syarahan Profesor Adjung ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar IBS dari segi pengetahuan dan motivasi, malah memperkukuh lagi kefahaman mereka terhadap kepentingan integriti dan profesionalisme dalam mengurus rantaian bekalan halal. Secara tidak langsung, inisiatif ini mengangkat lagi peranan IBS sebagai peneraju dalam pendidikan halal di peringkat institusi pengajian tinggi awam, selari dengan aspirasi negara dalam memperkukuh ekosistem halal yang mampan dan bertaraf antarabangsa.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Mohd Sollehudin Shuib, serta pensyarah-pensyarah IBS. – Prof. Madya Dr. Syarifah Md. Yusof