Bahagian Pengurusan Risiko kongsi ilmu pengurusan risiko bersama UniSHAMS
Gambar UniSHAMS
KUALA KETIL, 16 April 2025: Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pegawai risiko Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dalam satu program yang berlangsung di kampus UniSHAMS, semalam.
Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Shahrul Nizam Ahmad berkata, sesi tersebut bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan risiko institusi pendidikan tinggi, di samping memperkukuh jaringan profesional antara kedua-dua institusi.
Menurutnya, sesi seperti ini penting dalam memastikan institusi sentiasa peka terhadap risiko yang mendatang dan intitusi kekal mampan serta berdaya saing.
“Perkongsian ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman tentang pengurusan risiko, malah membuka ruang untuk kolaborasi masa depan antara UUM dan UniSHAMS,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Audit Dalam UniSHAMS, Azmin Fadhilah Ahmad Puat menyifatkan sesi ini sebagai satu peluang berharga bagi pegawai-pegawai risiko UniSHAMS menimba ilmu secara langsung daripada pengalaman UUM menguruskan risiko universiti.
“Kami amat menghargai perkongsian ini dan berharap ia dapat dimanfaatkan dalam memperkukuhkan tadbir urus risiko di UniSHAMS,” katanya.
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan perbincangan lanjut mengenai cabaran serta strategi pengurusan risiko dalam konteks pendidikan tinggi. – Nurulwajhi Yahaya