Pensyarah UUM perkasa perkongsian ilmu di The 2nd International Symposium on Current Trends in Mathematical Sciences
Gambar Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad dan Dr. Ibrahim Mohammed Sulaiman
SINTOK, 17 April 2025: Dua pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad dan Prof. Madya Dr. Ruzelan Khalid, telah dijemput sebagai pembentang dalam The 2nd International Symposium on Current Trends in Mathematical Sciences yang berlangsung secara maya pada 11 hingga 12 April 2025.
Simposium ini dianjurkan oleh Kumpulan Matematik untuk Penyelidikan Inovatif (GSU-MIR) di Universiti Gombe State (GSU), Nigeria, iaitu rakan kerjasama rasmi UUM melalui perjanjian Surat Hasrat (LoI).
Penyertaan UUM dalam simposium ini bukan sahaja mengukuhkan lagi jejak akademik universiti di peringkat global, malah mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam menerajui bidang sains kuantitatif serta memperkukuh jaringan penyelidikan rentas sempadan.
Bertemakan pengembangan ilmu dan inovasi dalam bidang sains matematik, simposium dua hari ini diadakan secara hibrid di NITDA ICT Park, GSU dan juga melalui platform Zoom. Menariknya, penyertaan ke simposium ini adalah percuma, dan telah menarik penyertaan dari para akademik dan penyelidik antarabangsa.
Dr. Nazihah membentangkan kajian beliau yang bertajuk “Leveraging Fuzzy Mathematical Models to Support Decision-Making in Medicine”, yang mengetengahkan potensi penggunaan model kabur dalam mempertingkatkan keputusan klinikal dan rawatan perubatan, manakala Dr. Ruzelan pula berkongsi penyelidikan bertajuk “Combining Discrete Event Simulation and Data Envelopment Analysis for Measuring and Improving an Outpatient Clinic’s Operations”, yang menekankan kaedah kuantitatif dalam menambah baik keberkesanan perkhidmatan klinik.
Antara pembentang utama dalam simposium ini ialah tokoh-tokoh tersohor antarabangsa seperti Prof. Daniel Okuonghae (Universiti Benin, Nigeria), Prof. Mohamed Amine Khamsi (Khalifa University, UAE), dan Prof. Gbolagade Kazeem (Universiti Ahman Pategi, Nigeria). Pelbagai topik menarik dibincangkan termasuk pemodelan matematik, pembelajaran mesin, teori titik tetap, sistem ekologi, dan topologi digital.
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua pensyarah di atas pencapaian cemerlang ini dan merakamkan penghargaan kepada pihak GSU atas penganjuran simposium yang berjaya. Acara ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperluas hubungan akademik antara Malaysia dan benua Afrika, selaras dengan agenda pengantarabangsaan UUM. – Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi