NextGen Leadership Camp with KSAH’s Prefects lahir bakal pemimpin berkualiti
Gambar Nur Hayati Md Sharif
SINTOK, 22 April 2025: Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar telah menganjurkan program NextGen Leadership Camp with KSAH’s Prefects bertempat di Kem PLKN, UUM.
Program selama tiga hari yang berlangsung dari 10 hingga 12 April 2025 ini merupakan inisiatif tahunan KSAH yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan pelajar, khususnya badan pengawas sekolah.
Pengarah Program, Muhammad Aliff Eiman Abdullah, yang juga Timbalan Presiden PENDIDIK UUM berkata, program ini dianjurkan seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh pembentukan sahsiah dan kemahiran kepimpinan generasi muda, serta mendokong agenda UUM sebagai universiti pengurusan terunggul yang proaktif dalam memperkasa peranan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.
Menurutnya, program berbentuk kem kepimpinan ini telah melibatkan penyertaan seramai 67 pengawas sekolah dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6.
Katanya, antara objektif utama penganjuran adalah untuk memupuk nilai-nilai kepimpinan yang tinggi dalam kalangan pengawas, memperkasakan keupayaan berinteraksi dan berkomunikasi secara efektif, serta memberikan pendedahan kepada para mahasiswa UUM, khususnya ahli PENDIDIK dalam aspek pengurusan dan pelaksanaan program berskala besar berbentuk kem motivasi dan kepimpinan.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang dirangka secara strategik untuk meningkatkan daya kepimpinan, semangat kerjasama berpasukan, dan kemahiran komunikasi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, tetapi turut memberi peluang kepada mereka untuk mengasah potensi sebagai pemimpin berkredibiliti. Menariknya, di akhir program, struktur organisasi Badan Pengawas KSAH bagi sesi persekolahan 2025/2026 telah berjaya dibentuk berdasarkan penilaian dan pemerhatian sepanjang kem berlangsung.
“Saya bersyukur dan bangga kerana dapat kembali menyumbang kepada alma mater saya. Program seperti ini bukan sahaja mampu membentuk barisan pemimpin pelajar yang cemerlang di peringkat sekolah, malah turut memberi impak besar dalam melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa, berdaya saing dan berjiwa masyarakat,” katanya.
Pihak pengurusan Kolej Sultan Abdul Hamid turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelajar Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) khususnya PENDIDIK, atas komitmen, dedikasi dan kepimpinan yang ditonjolkan sepanjang program berlangsung. Keterlibatan aktif mereka bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan program, malah menjadi model kepimpinan dan profesionalisme yang memberi inspirasi kepada peserta sekolah.
Pusat Pengajian Pendidikan menyokong penuh inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluas impak pendidikan kepimpinan dan pengurusan dalam kalangan mahasiswa pendidikan.- Muhammad Aliff Eiman Abdullah