Campus

KPO ROHANI 2025 kukuhkan kerohanian pelajar

SINTOK, 24 April 2025: Kira-kira 100 mahasiswa Universiti Utara Malaysia berkumpul di Dewan Seminar Pusat Islam bagi menyertai Kursus Pengurusan Program Kerohanian Pelajar (KPO ROHANI) 2025, sebuah inisiatif strategik dalam memperkasa barisan penggerak aktiviti kerohanian dan pembangunan insaniah pelajar.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi  Md. Sabri berkata, program sehari ini menyatukan AJK Kerohanian dari setiap JKPS/RS Inapan Siswa, wakil Kelab dan Persatuan bagi Kluster Kerohanian, serta Sahabat Masjid dan Surau dari seluruh kampus.

katanya, ia membawa objektif jelas untuk menyelaras gerak kerja kerohanian, membina jaringan kukuh antara penggerak rohani, dan memupuk nilai serta kemahiran kepimpinan yang mantap.

“Kursus ini adalah satu platform strategik untuk melahirkan pemimpin kerohanian mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berwibawa dan berpandangan jauh,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa keberadaan penggerak rohani yang cekap dan proaktif amat penting dalam memperkasakan suasana kampus yang seimbang kecemerlangannya dari sudut intelektual, emosi dan juga spiritual.

Kursus tersebut telah diisi dengan tiga slot utama yang relevan dengan keperluan semasa. Slot pertama bertajuk ‘Bagaimana Memanfaatkan ChatGPT untuk gerak kerja dakwah dan kerohanian’ disampaikan oleh Dr. Ahmad Suki Che Arif, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengkomputeran.

Slot kedua pula disampaikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang, Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman berkongsi tips-tips kepimpinan dan komunikasi yang berpengaruh. Slot ‘Pembangunan Sahsiah Pelajar: Isu dan Solusi’ pula disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar, pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik.

Sesi tersebut telah menerima respon positif para peserta sebelum diakhiri dengan perbincangan pemetaan program kerohanian bagi tahun 2025.

Eksekutif Pembangunan Insaniah dan Perpaduan Mahasiswa MPP UUM, Muhammad Zahid Ahmad Termizi berkata, sesi ini juga diangkat sebagai resolusi bagi KPO ROHANI 2025 agar mempunyai misi yang jelas dalam menyokong aspek pembangunan insaniah pelajar.

“Kami di MPP UUM sangat berharap agar barisan penggerak aktiviti kerohanian di setiap lokaliti Inapan Siswa, kelab persatuan serta masjid dan surau, agar dapat kita berganding bahu dalam menyokong usaha membangunkan bakal pemimpin berjiwa holistik sesuai dengan misi UUM,” ujarnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button