Bicara Perpaduan rangkul keharmonian melalui kepelbagaian
JITRA, 27 April 2025: Sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025, satu program diskusi awam bertajuk “Bicara Perpaduan: Harmoni Dalam Kepelbagaian” telah berlangsung di Dataran Darulaman, Jitra.
Usaha ini sebagai inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bagi memperkukuhkan semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum di peringkat negeri Kedah.
Program ini disertai oleh pelbagai tokoh masyarakat dan akademik yang aktif dalam memupuk semangat integrasi nasional, dan dibahagikan kepada tiga pusingan perbincangan bagi memberi ruang kepada panelis mengupas tema keharmonian dari pelbagai sudut pandangan.
Panelis, Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan, Pensyarah Kanan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menekankan peranan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh perpaduan nasional.
“Universiti bukan sahaja tempat pengembangan ilmu, tetapi juga platform penting dalam menyemai nilai toleransi, kerjasama, dan hormat-menghormati dalam kalangan mahasiswa yang datang dari pelbagai latar belakang etnik dan budaya.
“Program penglibatan dalam badan beruniform di kampus telah memainkan peranan signifikan dalam membentuk jati diri pelajar sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan inklusif,” ujarnya.
Panel kedua, Yeap Sow Win, yang merupakan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Changlun, berkongsi pengalaman dalam usaha menggerakkan perpaduan di peringkat komuniti.
“KRT bukan sekadar satu struktur organisasi di kejiranan, malah berfungsi sebagai pemangkin keharmonian dengan menganjurkan pelbagai program interaksi dan kebajikan masyarakat.
Beliau turut menyentuh tentang pentingnya kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti akar umbi untuk memastikan kestabilan sosial yang berkekalan.
Sesi diskusi ini menyaksikan moderator, Dr. Ismail Zakaria, EXCO (MCPF), yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan perbincangan berjalan secara tersusun, informatif dan menyeluruh.
Acara Bicara Perpaduan ini merupakan antara pengisian utama Minggu Perpaduan 2025 di negeri Kedah, di bawah kempen “Kembara Perpaduan” anjuran Kementerian Perpaduan Negara.
Ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan sebagai asas pembinaan negara. Sambutan ini turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan negeri dan rakan strategik yang sama-sama beriltizam memartabatkan keharmonian dalam kepelbagaian sebagai kekuatan utama negara.
Program ini berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar universiti, pemimpin komuniti, wakil NGO, dan penjawat awam, yang hadir bagi mendengar dan berdiskusi secara terbuka mengenai erti sebenar perpaduan dalam konteks Malaysia masa kini.