Education

Program USR ‘Bukit Perangin Kind Of Day’ galak gaya hidup sihat dan kesedaran alam sekitar

Gambar Pusat Sukan UUM

CHANGLUN, 15 Jun 2026: Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti (USR) ‘Bukit Perangin Kind of Day’ di Bukit Perangin dengan penyertaan seramai 40 peserta terdiri daripada staf dan pelajar praktikal Pusat Sukan UUM.

Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron berkata, program itu bertujuan memupuk budaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi luar di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, program ini merupakan salah satu inisiatif universiti dalam menyokong agenda kelestarian dan kesejahteraan komuniti kampus.

“Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal peserta, malah turut membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta memperkukuhkan hubungan antara staf dan pelajar melalui aktiviti yang dijalankan secara bersama.

“Sepanjang program berlangsung, peserta telah melaksanakan aktiviti pendakian, gotong-royong membersihkan kawasan rekreasi serta aktiviti pembangunan sahsiah dan kerja berpasukan,” katanya.

Selain memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi, program ini turut berjaya menggalakkan penglibatan aktif peserta dalam usaha menjaga kebersihan kawasan rekreasi melalui aktiviti kutipan sampah di sepanjang laluan pendakian dan kawasan sekitar Bukit Perangin.

Program ini turut mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan rekreasi yang selamat, semangat kesukarelawanan serta kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan rekreasi awam.

Pusat Sukan UUM berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan budaya hidup aktif dan sihat serta menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat. – Muhammah Syafawi Kamarudin (Pelajar Praktikal)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button