Kolaborasi WanderMY-CEDI UUM rangkul dua Anugerah Khas dan Pingat Perak di Grand Showcase IDCT 2.0
Gambar Pasukan WanderMY
KOTA SAMARAHAN, 15 Jun 2026: Pasukan WanderMY, Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul dua anugerah khas serta memperoleh pingat perak keseluruhan pada Grand Showcase dan Majlis Perasmian Penutupan Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 yang berlangsung pada 12 hingga 15 Jun lalu di The Summer Mall, Kota Samarahan, Sarawak.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa, manakala program tersebut dianjurkan oleh Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik KPT dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Program IDCT 2.0 menghimpunkan penyertaan daripada 23 institusi pengajian tinggi seluruh negara dengan penglibatan 71 panel penilai daripada universiti awam, politeknik dan wakil industri bagi menilai projek-projek pembangunan pelancongan komuniti berasaskan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan sosial.
Pasukan WanderMY UUM yang dibimbing oleh Raslinda Mohd. Ghazali selaku Mentor Akademik berjaya meraih Anugerah Penjenamaan Produk Komuniti Terbaik (Tempat Pertama) yang membawa wang saguhati bernilai RM700 serta Anugerah Artikel Terbaik (Tempat Kedua) dengan wang saguhati berjumlah RM500.
Lebih membanggakan, UUM turut dinobatkan sebagai penerima pingat perak keseluruhan IDCT 2.0, sekali gus meletakkan universiti sebaris dengan beberapa institusi pendidikan tinggi lain yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan berprestij tersebut.
Sepanjang pelaksanaan IDCT 2.0, pasukan WanderMY UUM telah membangunkan projek pemerkasaan pelancongan komuniti bersama Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad, dengan memberi fokus kepada penjenamaan produk komuniti, pemasaran digital, pembangunan kandungan media sosial, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), chatbot interaktif serta penghasilan artikel berkaitan pelancongan komuniti.

Kejayaan tersebut merupakan hasil usaha berterusan pasukan UUM yang telah melalui beberapa fasa pelaksanaan program termasuk siri bootcamp, lawatan komuniti, pemindahan ilmu kepada komuniti, pelaksanaan bengkel pemasaran digital serta Mini Showcase sempena Karnival Jom Masuk U 2026 Zon Utara.
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Dr. Juhaida Abu Bakar menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap komitmen UUM dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan keusahawanan sosial dan inovasi digital.
Menurutnya, kejayaan pasukan WanderMY membuktikan bahawa kolaborasi strategik antara universiti dan komuniti mampu menghasilkan impak yang signifikan kepada pembangunan pelancongan komuniti secara mampan.
“Pencapaian ini bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada CEDI dan UUM, malah membuktikan bahawa pelajar mampu menjadi agen perubahan kepada komuniti melalui aplikasi ilmu, teknologi dan inovasi.
“Saya percaya kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti berimpak tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mentor Akademik Pasukan WanderMY, Raslinda melahirkan rasa syukur atas pencapaian yang diperoleh dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerjasama erat antara pelajar, CEDI UUM dan komuniti Homestay Sedim.
Beliau berkata, pengalaman sepanjang hampir setahun mengikuti program IDCT 2.0 telah memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu secara langsung bersama komuniti serta memahami keperluan sebenar industri pelancongan komuniti.
“Kejayaan ini adalah milik semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan WanderMY.
“Saya amat berbangga dengan kesungguhan para pelajar dan kerjasama erat yang diberikan oleh pihak CEDI dan komuniti Homestay Sedim sepanjang pelaksanaan projek ini. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui inovasi dan keusahawanan sosial,” katanya.
Berkongsi pengalaman sebagai wakil pelajar, Bushsara Cha Nak berkata penyertaan dalam IDCT 2.0 telah memberikan pengalaman pembelajaran yang amat berharga dan membuka perspektif baharu mengenai peranan mahasiswa dalam pembangunan komuniti.

“Sepanjang program ini, kami bukan sahaja mempelajari aspek pemasaran digital dan penggunaan teknologi, tetapi juga memahami kepentingan membina hubungan dengan komuniti dan menghasilkan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat. Pengalaman ini telah meningkatkan keyakinan diri serta mengajar kami erti kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Bushsara turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kenangan manis yang akan terus menjadi sumber inspirasi kepada pasukan WanderMY untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti pada masa hadapan.
Kejayaan pasukan WanderMY turut membuktikan komitmen berterusan CEDI UUM dalam memperkukuhkan agenda keusahawanan sosial, pembangunan komuniti dan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mampu menjadi pemangkin pembangunan masyarakat dan negara. – Akmal Ahlami Md Rozai



