Education

Pelajar UUM sertai EKSPEN USM, perkukuh persediaan kerjaya dan kemahiran resume

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

PULAU PINANG, 15 Jun 2026: Seramai 30 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai lawatan ke Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mendapatkan pendedahan mengenai peluang kerjaya, latihan industri dan keperluan semasa industri.

EKSPEN menghimpunkan lebih daripada 45 syarikat dan organisasi daripada pelbagai sektor yang menawarkan peluang pekerjaan, latihan industri serta pembangunan kerjaya kepada pelajar dan graduan. Antara syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian termasuk Maybank, ViTrox Corporation Berhad, Micron Technology, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) serta pelbagai lagi majikan daripada sektor teknologi, kewangan, pembuatan dan perkhidmatan awam.

Sepanjang ekspo berlangsung, pelajar berpeluang mengunjungi reruai pameran kerjaya untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil industri, mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan dan latihan industri, serta memahami kemahiran yang diperlukan oleh majikan pada masa kini.

Selain itu, terdapat juga sesi temu duga bersama beberapa syarikat yang dapat memberi pendedahan awal kepada proses pengambilan pekerja serta membantu meningkatkan keyakinan dan kemahiran komunikasi dalam menghadapi temu duga sebenar.

Di samping itu, ekspo kerjaya ini turut mengadakan sesi ceramah berkaitan penulisan resume yang berkesan dan memberi panduan kepada peserta mengenai teknik menyediakan resume yang profesional, menonjolkan pencapaian akademik dan kokurikulum, serta kesilapan lazim yang perlu dielakkan ketika memohon pekerjaan. Perkongsian tersebut membantu pelajar memahami cara menghasilkan resume yang mampu menarik perhatian majikan dan meningkatkan peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.

Pegawai Psikologi Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Nur Farah Johari berkata,  penyertaan pelajar dalam program seperti EKSPEN merupakan platform yang sangat bermanfaat untuk meningkatkan kesediaan mereka menghadapi alam pekerjaan yang semakin kompetitif.

“Selain memperoleh maklumat secara langsung daripada majikan, pelajar juga dapat membina keyakinan diri, memperluas jaringan profesional serta memahami keperluan sebenar industri.

“Pendedahan seperti ini amat penting dalam membantu pelajar membuat perancangan kerjaya yang lebih jelas dan terarah,” katanya.

Beliau turut berharap agar pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar dalam memperkukuhkan kemahiran kebolehpasaran serta meningkatkan daya saing mereka sebagai bakal graduan.

Penyertaan dalam program ini diharapkan dapat memperkukuh tahap kebolehpasaran graduan melalui pendedahan langsung kepada dunia pekerjaan, sekali gus membantu pelajar membuat persediaan yang lebih rapi sebelum melangkah ke alam kerjaya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button