Penyelidikan pressmud terus meluas ke arah rawatan sisa air leachate tapak pelupusan sisa pepejal
Berita dan gambar Nur Azean Baharom
SINTOK, 15 Jun 2026: Peningkatan jumlah sisa pepejal yang dijana akibat pertumbuhan penduduk dan pembangunan pesat negara telah menyebabkan isu pengurusan tapak pelupusan semakin mendapat perhatian.
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah penghasilan air larut resap atau leachate iaitu cecair tercemar yang terbentuk apabila air meresap melalui timbunan sisa pepejal di tapak pelupusan.

Penyelidik, Dr. Maheera Mohamad dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) kini giat menjalankan penyelidikan berkaitan penggunaan pressmud sebagai bahan penjerap alternatif bagi merawat air leachate yang terhasil daripada tapak pelupusan sisa pepejal.
Menurutnya, kajian ini bertujuan meneroka kaedah rawatan yang lebih lestari, berkesan dan berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada bahan penjerap komersial yang lebih mahal.
Leachate mengandungi pelbagai bahan pencemar seperti bahan organik, pepejal terampai, warna serta bahan kimia berbahaya yang berpotensi mencemarkan sumber air permukaan dan air bawah tanah sekiranya tidak dirawat dengan sempurna.
Di Malaysia, kebanyakan sisa pepejal masih dilupuskan di tapak pelupusan, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap teknologi rawatan leachate yang lebih berkesan dan kos efektif.

Dr. Maheera berkata, kajian ini bertujuan untuk menentukan ciri-ciri leachate yang telah stabil, mencirikan sifat pressmud, mengoptimumkan keadaan operasi menggunakan Response Surface Methodology (RSM), serta menilai model isoterm penjerapan yang terlibat dalam proses rawatan.
Sampel leachate diperoleh daripada Tapak Pelupusan Sanitari Pulau Burung, Pulau Pinang, manakala pressmud diperoleh daripada Malaysia Sugar Manufacturing (MSM) di Seberang Perai. Kajian makmal dijalankan bagi menilai keberkesanan pressmud dalam mengurangkan kepekatan bahan pencemar utama seperti Chemical Oxygen Demand (COD), warna, pepejal terampai dan kekeruhan (turbidity).
Hasil kajian menunjukkan bahawa pressmud mempunyai potensi yang tinggi sebagai bahan penjerap alternatif bagi rawatan leachate. Pada keadaan operasi optimum, bahan tersebut berjaya menyingkirkan sehingga 73.94 peratus COD, 71.64 peratus warna, 68.27 peratus pepejal terampai dan 64.37 peratus kekeruhan daripada sampel leachate. Kajian isoterm pula mendapati proses penjerapan yang berlaku menepati model Langmuir, menunjukkan interaksi kimia yang baik antara bahan pencemar dan permukaan pressmud ash.

“Penggunaan pressmud bukan sahaja berpotensi meningkatkan keberkesanan rawatan leachate, malah membantu mengurangkan lambakan sisa industri gula melalui pendekatan waste-to-wealth.
“Pendekatan ini membolehkan bahan buangan pertanian dimanfaatkan semula sebagai produk bernilai tinggi yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.
Penemuan kajian ini diharapkan dapat membuka ruang kepada pembangunan teknologi rawatan leachate yang lebih mesra alam, murah dan mampan, seterusnya menyokong usaha negara dalam memperkukuhkan pengurusan sisa pepejal dan perlindungan sumber air untuk generasi akan datang.



