Education

Dekan SEFB serah surat lantikan CEO@Faculty programme kepada pengerusi QEW Group Berhad

PUTRAJAYA, 27 April 2025 – Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri telah menyerahkan surat lantikan CEO@Faculty kepada Dato’ Dr. Muhamad Iqbal Mohamad, Pengerusi Eksekutif Kumpulan QEW Group Berhad, dalam satu kunjungan hormat yang berlangsung di pejabat beliau di Putrajaya, baru-baru ini.

CEO@Faculty merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri melalui penglibatan langsung tokoh-tokoh korporat dalam program akademik universiti.

Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Dr. Muhamad Iqbal menyambut baik inisiatif UUM dalam memperkukuhkan hubungan industri dan akademia. Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk berkongsi pengalaman luas dalam bidang perniagaan bagi memperkaya pengetahuan serta meningkatkan kebolehpasaran pelajar SEFB.

Menurut Dato’ Dr. Muhamad Iqbal, Sintok tetap dekat di hatinya kerana beliau pernah menuntut di Matrikulasi Sintok pada tahun 1997. Ini menambahkan lagi semangat beliau untuk kembali menyumbang kepada UUM secara tidak langsung.

Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri menzahirkan rasa gembira atas kesediaan Dato’ Dr. Muhamad Iqbal menerima lantikan ini yang bermula pada 16 Mac 2025 sehingga 31 Disember 2026. Beliau percaya, kepakaran dan pengalaman luas Dato’ dalam dunia korporat akan memberikan nilai tambah yang besar kepada pelajar-pelajar SEFB.

Selain itu, Dato’ Dr. Muhamad Iqbal juga bersetuju untuk membuka peluang latihan industri kepada pelajar-pelajar SEFB di bawah syarikat-syarikat kumpulan QEW. Beliau turut berhasrat untuk membantu UUM dalam pelbagai inisiatif termasuk projek dana wakaf universiti. Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SEFB. – M. Khairy Mukhtaruddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button