Education

Resume menyerlah, kerjaya cerah  

SINTOK, 28 April 2025: Seramai 30 pelajar dari School of Computing (SOC) telah menyertai program Alumni Talk sempena Karnival SOC 2025 yang berlangsung di UUM.

Program ini menampilkan Pengurus Makmal Industri dari Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis, Mohamad Rizal Abdul Rejab yang juga merupakan alumni SOC, sebagai penceramah jemputan.

Dalam sesi yang berlangsung   hampir dua jam itu, Mohamad Rizal telah berkongsi pelbagai tip berguna untuk menyediakan resume yang menarik, khususnya dalam usaha ‘menjual diri’ di pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Beliau menekankan kepentingan menyusun maklumat dengan kemas, menonjolkan pencapaian sebenar serta mengaitkan pengalaman dengan keperluan semasa industri.

“Resume bukan sekadar senarai pengalaman, ia adalah cerminan diri anda. Pastikan ia mampu menarik perhatian dalam masa 30 saat pertama,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memberi pendedahan tentang kesilapan lazim dalam penyediaan resume serta bagaimana graduan boleh membezakan diri mereka daripada calon lain melalui penulisan profil peribadi yang meyakinkan dan penggunaan kata kunci yang relevan dengan industri sasaran.

Para pelajar turut diberi peluang untuk bertanya soalan secara langsung serta mendapatkan maklum balas terhadap resume masing-masing.

Menurut pelajar tahun akhir program Teknologi Maklumat, Nurul Aina, program ini amat bermanfaat dan membuka mata tentang keperluan memperkemas dokumen kerjaya sebelum melangkah ke dunia pekerjaan.

“Saya sedar ada banyak aspek dalam resume saya yang boleh ditambah baik. Terima kasih kepada penceramah kerana berkongsi dengan sangat jelas dan praktikal,” katanya.

Penganjuran Alumni Talk ini adalah sebahagian daripada usaha SOC untuk menjalin hubungan erat dengan alumni dan menyediakan platform pembangunan kerjaya kepada para pelajar. –  Noor Aina Norrdin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button