Education

Perkasakan masjid melalui latihan dan pensijilan yang tersusun

SINTOK, 4 Mei 2025: Program Persijilan Kemahiran Malaysia – Bidang Pengurusan Masjid menjadi platform   kepada pegawai dan jawatankuasa masjid bagi menimba ilmu, profesionalisme dan kemahiran dalam pengurusan masjid.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, program ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jelasnya, inisiatif ini satu usaha proaktif dalam memperkasakan institusi masjid melalui latihan dan pensijilan yang tersusun, sekali gus melahirkan barisan imam dan bilal yang berkemahiran tinggi serta mampu memimpin masyarakat dengan penuh integriti dan profesional.

“Jika sebut sahaja Imam dan Bilal, maka fikiran kita pasti akan menjurus kepada institusi masjid. Islam amat mementingkan akan martabat dan kesucian masjid sehingga institusi masjid diangkat sebagai ‘Rumah Allah’ di atas muka bumi.

“Ingatlah bahawa imej dan maruah institusi masjid adalah terletak di bahu kita sebagai umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam menjaga dan memuliakan institusi masjid setiap masa dan janganlah pula kita meletakkan obligasi ini kepada jawatankuasa masjid sahaja tanpa kita mengambil peduli terhadap perkembangan aktiviti masjid semasa.

“Oleh itu, saya menyeru kepada pegawai dan jawatankuasa masjid yang mencukupi syarat, daftar dan rebutlah peluang yang ada ini supaya kita dapat bersama-sama mengembalikan kegemilangan institusi masjid seperti zaman baginda Rasulullah S.A.W,” ucapnya pada program anjuran Koperasi Anak Kedah Berhad bersama Universiti Sultan Azlan Shah serta Universiti Utara Malaysia (UUM).

Jika mengimbau kembali peranan institusi masjid pada zaman Nabi Muhammad S.A.W katanya, masjid bukan sahaja dijadikan tempat mendirikan ibadah semata-mata tetapi masjid berkembang dengan lebih luas lagi iaitu sebagai ‘one stop center’ dalam aktiviti kemasyarakatan seperti pusat ekonomi dan aktiviti sosial.

“Masjid turut dijadikan lokasi pertemuan baginda dengan diplomat yang hadir dari negara serantau bagi urusan diplomatik. Oleh itu, melihat kepada peranan masjid yang lebih besar ini, saya berharap agar masjid-masjid di Malaysia amnya dan di negeri Kedah khususnya dapat mengambil inisiatif dan langkah-langkah dalam memperkasakan lagi pengurusan dan pengoperasian masjid.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada UUM kerana memiliki satu masjid yang berinovasi apabila menyediakan spa yang patuh syariah bagi lelaki dan perempuan.

“Saya nampak pelajar dilatih dengan baik dan ini membuktikan masjid bukan sahaja tempat beribadah tetapi melakukan pelbagai aktiviti yang dapat menarik orang ramai untuk memanfaatkan kemudahan yang ada di masjid.

“Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Kursus Imam dan Bilal Profesional Siri 2/ 2025 yang telah mendapat sambutan luar biasa iaitu melebihi 180 orang pada siri kali ini,” ujarnya ketika   merasmikan penutupan Kursus Imam dan Bilal Profesional 2025, serta melancarkan Program Persijilan Kemahiran Malaysia – Bidang Pengurusan Masjid, Jumaat lalu.

Dengan penganjuran kursus ini, besarlah harapan beliau supaya ilmu yang dipelajari dapat diadaptasi dalam kita menzahirkan ibadah yang terbaik kepada Allah S.W.T. dengan penuh profesionalisme dan kemahiran yang tinggi oleh para imam dan bilal.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan sesi gimik pelancaran dengan memotong reben pada gegantung sejurus sebelum menyampaikan sijil tamat kursus kepada peserta.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button