Wakaf An-Nur sumbang RM5,000 untuk pelajar asnaf UUM
Gambar Pusat Alumni UUM
KUALA LUMPUR, 8 Mei 2025: Waqaf An-Nur telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 serta baucar KFC melalui KOTIGA untuk membantu meringankan beban 20 pelajar asnaf UUM.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengurus Besar Divisyen Pembangunan Ummah Waqaf An-Nur, Zamri Norani sempena Majlis Reunion Alumni 3rd Batch UUM dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kuala Lumpur.
Majlis bertambah istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat daripada kalangan alumni Batch ke-3, iaitu Pengarah Penjara Pahang, Dato’ Abu Hasan Hussain; Naib Ketua Pegawai Eksekutif Dasar Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Azam Sulaiman, dan Zamri Norani serta Dato’ Abu Seman Awang.
Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, sumbangan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan alumni terhadap kesejahteraan pelajar UUM.
Menurutnya, peranan alumni sangat penting dalam membina jaringan dinamik demi kemajuan universiti dan komuniti.
Katanya, Pusat Alumni bertuah kerana 80 alumni hadir memeriahkan majlis yang turut menyaksikan pelancaran rasmi Koperasi Alumni Batch ke-3 atau dikenali sebagai KOTIGA yang merupakan satu inisiatif memperkukuh jaringan alumni dan dapat menyumbang semula kepada masyarakat.
Sementara itu, Dato’ Abu Hasan yang mewakili wakil alumni mengajak rakan alumni Batch 3 untuk terus menyumbang tenaga, kepakaran dan sokongan demi kesinambungan kecemerlangan universiti.
Majlis turut menyaksikan pelancaran dua inisiatif penting iaitu Kempen Sumbangan 1 Alumni 1 Ringgit bagi membantu dana kebajikan pelajar asnaf, serta Kempen Kemaskini Alumni Management Information System (AMIS) untuk mengemas kini maklumat alumni.
Pusat Alumni UUM berharap usaha ini menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara alumni dan universiti pada masa akan datang. – Fatin Najwana Ahmad Tarmizi (Pelajar Praktikal)