Perbincangan strategik penyelidikan dan program CSR: SLCP dan Maahad Tahfiz Hamalatul Quran
Gambar Famieza Mahamod
BALING, 8 Mei 2025: Satu sesi perbincangan strategik telah diadakan antara Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan Maahad Hamalatul Quran, Baling.
Perbincangan ini dirangka khusus untuk merintis kerjasama penyelidikan berfokuskan komuniti, yang bukan sahaja memfokuskan aspek akademik tetapi juga memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Wakil SLCP, Prof. Madya Dr. Mohd. Nizho Abdul Rahman berkata, lawatan awal ini adalah langkah penting dalam mengenal pasti potensi pembangunan bersama antara institusi akademik dan institusi tahfiz.
Menurutnya, fokus utama kerjasama adalah untuk memperkukuh kualiti perusahaan makanan tempatan yang diusahakan oleh pihak Maahad Tahfiz sambil memelihara kaedah pembuatan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan menambah baik mutu produk, malah berperanan mempromosikan warisan lama agar dapat diketengahkan lebih meluas di peringkat pasaran tempatan dan luar,” katanya.
Selain daripada sesi perbincangan penyelidikan, lawatan ini turut disertakan acara sumbangan barangan makanan yang diserahkan kepada pihak maahad bagi membantu meringankan beban pihak maahad.
Inisiatif ini menggambarkan komitmen universiti dalam menyokong komuniti setempat secara holistik, bukan sahaja melalui penyelidikan tetapi juga menerusi sumbangan kebajikan.
Sementara itu. wakil pengurusan Maahad Hamalatul Quran, Muhammad Farhan Alsanadi, menyambut baik inisiatif ini dan berharap kerjasama sebegini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti.
Beliau juga menegaskan kepentingan usaha bersama dalam memelihara identiti budaya, khususnya melalui pemuliharaan makanan tradisional yang semakin terpinggir akibat kemajuan industri moden.
Lawatan yang berlangsung selama dua jam itu diakhiri dengan sesi pertukaran pandangan bagi menetapkan rangka kerja program yang akan dijalankan, termasuk perancangan bengkel pemindahan ilmu serta aktiviti pemetaan produk bagi mengangkat produk Maahad Tahfiz ke pentas pasaran lebih luas. – Zeety Kartini Abdul Hamid