UUM luaskan jaringan pendidikan kerja sosial di China
Berita dan gambar Dr. Chan Cheong Chong
GUANGXI, 13 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperluaskan jaringan pendidikan kerja sosial di peringkat antarabangsa, termasuk di Chongzuo, China bermula 22 April lalu.
Inisiatif ini selaras dengan komitmen UUM dalam memperkukuh kerjasama serantau dan global dalam bidang kerja sosial serta pemerkasaan komuniti.
Salah satu usaha terkini UUM adalah melalui lawatan akademik delegasi yang terdiri daripada Ketua Kampus UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan; Dekan Akademik UUMKL, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Prof. Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin; Ketua Jabatan CAS UUMKL, Dr. Chan Cheong Chong, dan Pengerusi Program Dasar dan Kerja Sosial, SAPSP, Dr. Teoh Ai Hua ke School of Management, Guangxi Minzu Normal University, Chongzuo yang menawarkan program kerja sosial.
Delegasi UUM disambut mesra oleh pihak pengurusan School of Management dan telah diberi pendedahan tentang sejarah dan perkembangan terkini profesion kerja sosial di China khususnya di bandar Chongzuo yang dihadiri oleh wakil agensi kerajaan tempatan dan pekerja sosial daripada badan kebajikan setempat.
Dr. Norlena berkata, delegasi UUM berpeluang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan perkembangan dan sistem amalan kerja sosial di Malaysia.
Pada 23 April, menurutnya, delegasi UUM mendapat jemputan untuk mengunjungi Chongzuo Chongyang Elderly Apartment untuk mempelajari inovasi dalam perkhidmatan penjagaan warga emas.
Katanya, institusi kebajikan warga emas ini adalah satu kompleks integrasi yang menggabungkan pelbagai jenis perkhidmatan untuk warga emas yang memerlukan.
Antara yang menarik adalah institusi ini dipelopori oleh pasukan perubatan dan menjadi naungan sebuah universiti. Malah, di dalam institusi tersebut, ada disediakan sebuah universiti warga emas untuk mempromosi pembelajaran sepanjang hayat.
Naib Presiden Guangxi Minzu Normal University, Prof Nong Xiuli telah mencadangkan satu lawatan ke sebuah sekolah menengah rendah yang berprestasi tinggi di Chongzuo iaitu The Second Affiliated Middle School of Guangxi Minzu Normal University.
Lawatan ini sangat bermakna kerana ia memberikan peluang untuk memahami pendekatan pendidikan cemerlang di China, bertukar pandangan tentang amalan pengajaran dan pembelajaran, serta membina jaringan kerjasama yang berpotensi antara institusi. Delegasi UUM telah disambut meriah oleh para pelajar dengan pertunjukan senaman dan tarian yang melambangkan ciri-ciri tempatan. Delegasi UUM turut dijemput untuk menghasilkan kaligrafi cina sebagai tanda persahabatan antara Malaysia dan China.
Usaha-usaha ini menunjukkan komitmen UUM dalam memperluaskan jaringan pendidikan kerja sosial di peringkat antarabangsa, khususnya di kawasan seperti Chongzuo, Guangxi. Melalui kerjasama strategik dan pertukaran ilmu, UUM berupaya memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan komuniti global.