BAHTERA bergotong-royong ceriakan PPKKTPIS
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 14 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Universiti Utara Malaysia (BAHTERA) telah menganjurkan program gotong-royong di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tunku Puteri Intan Safinaz (PPKKTPIS) dengan kerjasama Lembaga Pengelola Taska/Tadika UUM dan Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) selaku penaja.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Taska/Tadika UUM, Prof. Dr. Rohana Abdul Rahman, dan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Pengerusi Persatuan BAHTERA, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
PPKKTPIS turut menerima cek cura sumbangan daripada PZW UUM berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah PZW UUM, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamal.
Dr. Bidayatul Akmal berkata, sumbangan ini adalah sebagai inisiatif kebajikan bagi menyokong aktiviti dan penambah baikan prasarana dan kemudahan di PPKKTPIS.
Kemudian, sumbangan 13 unit set komputer daripada Alumni UUM, Azmanira Ismail yang diwakili oleh Pengetua Inapan Siswa (Inasis) Petronas, Muhammad Noor Fitri Ahmad kepada Pengurus PPKKTPIS, Farah Hana Mohammad Roslee, bagi kegunaan pejabat dan maklmal komputer yang akan disediakan di PPKKTPIS untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran yang lebih interaktif kepada anak-anak di PPKKTPIS.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut meluangkan masa hadir ke program ini bagi meninjau dan memantau perjalanan gotong-royong yang sedang berlangsung.
Kehadiran beliau bukan sahaja memberi sokongan moral kepada peserta, malah membuktikan komitmen pihak universiti dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga dan komuniti UUM secara umumnya.
Program ini diteruskan dengan aktiviti gotong-royong yang disertai oleh staf pelbagai jabatan seperti Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) dan wakil-wakil persatuan dan kesatuan staf yang sangat komited. Program ini juga disokong oleh sukarelawan pelajar yang diterajui oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan semangat kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti, selain menjadi langkah awal yang akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menambah baik perkhidmatan dan persekitaran di PPKKTPIS untuk keselesaan dan kesejahteraan seluruh warganya yang juga merupakan sebahagian dari komuniti UUM. – Nurul Shakinah Mohd Saipudin