Gambar FB Naib Canselor
GARUT, 15 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kedudukan sebagai universiti pengurusan terkemuka di rantau ini apabila hari ini menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Universitas Garut (Uniga), Indonesia dalam satu lawatan rasmi di Uniga, Garut.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang mengetuai delegasi UUM dalam lawatan bersejarah ini turut menyaksikan pelancaran Pusat Riset Uniga-UUM bersama Rektor Uniga, Prof. Dr. Abdusy Syakur Amin, M.Eng.
Penubuhan pusat ini menandakan komitmen jitu kedua-dua universiti dalam menggiatkan aktiviti penyelidikan bersama, khususnya dalam bidang yang memberi impak langsung kepada pembangunan masyarakat serantau.
Lawatan ini merupakan kesinambungan usaha UUM dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dan memacu kolaborasi akademik serta penyelidikan rentas sempadan.
Delegasi UUM juga berpeluang berbincang lanjut mengenai pelaksanaan program pertukaran pelajar dan pensyarah, penerbitan bersama serta pembangunan projek penyelidikan yang menjurus kepada kelestarian, dasar awam, dan inovasi pendidikan.
Dalam rangka lawatan ke Indonesia ini juga, Dr. Mohd Foad dan delegasi UUM turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Direktur Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia yang baharu, Prof. Dr. H. Suyitno, M.Ag. di pejabat beliau di Kementerian Agama (KEMENAG), Jakarta.
Pertemuan ini membincangkan potensi kerjasama yang lebih strategik antara UUM dan KEMENAG, khususnya dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar-pelajar Indonesia.
Naib Canselor menegaskan bahawa UUM sentiasa komited untuk bersama-sama dengan KEMENAG dalam usaha memperkasa pendidikan Islam dan membangunkan modal insan berkualiti tinggi di Indonesia.
“Hubungan erat UUM dan KEMENAG telah lama terjalin, dan kunjungan ini memperkukuh lagi keyakinan kami untuk terus menjadi rakan strategik utama dalam mendidik dan melahirkan graduan cemerlang dari Indonesia.
“Kami percaya pendidikan berkualiti merentas sempadan adalah kunci kepada masa depan rantau ini,” katanya.
Kedua-dua program rasmi ini mencerminkan aspirasi UUM untuk terus menjadi institusi global yang progresif, terbuka kepada jaringan kolaborasi antarabangsa, dan sentiasa mendepani cabaran semasa melalui pendidikan, penyelidikan dan pemindahan ilmu yang berterusan.
Majlis di Garut dan Jakarta turut dihadiri oleh para pegawai kanan, penyelidik dan akademik kedua-dua belah pihak, yang sama-sama komited merealisasikan pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang dalam tempoh terdekat. – Kori Ariff