Campus

Rancang strategi, KPI demi realisasikan visi UUM

SINTOK, 19 Mei 2025: Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Fasa IV (2026-2030) Siri 2: Bersama JPU dan Ketua PTJ bertujuan untuk merancang dan menentukan Strategi serta KPI yang akan dilaksanakan dalam usaha merealisasikan Visi UUM ke arah menjadi universiti pengurusan terkemuka.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Pelan Strategik Fasa III sekarang berada di penghujung fasa di mana tahun 2025 merupakan tahun akhir bagi Fasa III dan persiapan pembangunan Pelan Strategik Fasa IV (2026-2030) juga sedang giat dijalankan oleh BPPK.

“Kerangka Pelan Strategik Fasa IV telah dirancang dan dibangunkan seawal bulan September 2024,” ujarnya.

Beliau menerangkan terdapat lapan dasar dan hala tuju UUM yang dirancang dan dijadikan panduan dalam menentukan perancangan Pelan Strategik Fasa IV bagi tempoh 5 tahun akan datang sepanjang tahun 2026 sehingga 2030.

Antaranya, Pengurusan Pendidikan, Kecemerlangan Global, Kecemerlangan R.I.C.E.S, Kelestarian (Pengukuhan Infrastruktur & Infostruktur), Kemampanan Kewangan (Pendanaan, Penjanaan & Penjimatan), Penyediaan Bakat (Alumni, Pelajar & Staf), Transformasi Sosial (Komuniti & Industri), serta Governan dan Kepimpinan

“Pelan Strategik UUM juga merupakan penggerak dalam pelaksanaan, pemantauan dan memastikan pencapaian agenda di peringkat antarabangsa dan peringkat nasional.

“Justeru, perancangan pembangunan Pelan Strategik Fasa IV ini perlu mengambil kira agenda di peringkat antarabangsa yang merangkumi QS Ranking, THE Ranking, Akreditasi seperti AACSB, AUNQA, AMBA dan EQUIS di samping melihat kepada SDG/ESG,” tambahnya.

Di samping itu, agenda di peringkat nasional perlu diberi perhatian yang terdiri daripada beberapa agenda utama iaitu Hala Tuju Pendidikan Tinggi (HTPT), MYMOHES, MyRA, OBB, RMK13, SETARA dan NHEBP.

Kesemua agenda ini akan memberi impak kepada satu sistem baharu yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Formula Pendanaan Baharu (NFF) di mana peruntukan kepada universiti akan diberikan berdasarkan prestasi universiti.

“Kita akan mewujudkan dan menetapkan pengukuran kepada 3 peringkat yang lebih atas iaitu di peringkat Strategi, Fokus dan Visi UUM berbanding Fasa III sekarang yang tertumpu di peringkat KPI & PI sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pengukuran Pelan Strategik Fasa IV kepada 4 peringkat yang berbeza.

“Hasil daripada bengkel ini, pemetaan akan dibuat pada setiap peringkat supaya dapat memberi impak kepada pengukuran di peringkat pencapaian Visi UUM,” ucapnya di EDC-UUM, semalam.

Beliau optimis dengan kebijaksanaan semua ahli yang hadir agar dapat bersama-sama merangka, merancang dan menentukan strategi yang terbaik serta sama-sama berganding bahu untuk mencapainya.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas kegigihan semua pihak dalam merealisasikan Pelan Strategik UUM bermula dari Fasa I (2011-2015), Fasa II (2016-2020) dan sekarang Fasa III (2021-2025).

“Walaupun terikat dengan pelbagai komitmen, namun saya amat yakin setiap daripada kita telah melakukan yang terbaik bagi memastikan pelan strategik universiti dapat dicapai seterusnya mencapai Visi dan Misi UUM dalam menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka dan mendidik pemimpin berpewatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button