Education

SOG sokong agenda pengantarabangsaan melalui UUM Global Outreach Programme: Outbound Mobility To East Java

Berita dan gambar Sr. Dr. Farahiyah Fadzil

SINTOK, 20 Mei 2025: Seramai 31 pelajar dan lima staf pengiring dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan program UUM Global Outreach Programme: Outbound Mobility to East Java anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), dengan kerjasama Inapan Siswa (Inasis) Sime Darby dan Inasis Luar Kampus.

Program ini berlangsung dari 1 hingga 14 Mei yang melibatkan dua institusi pengajian tinggi terkemuka di Jawa Timur, Indonesia iaitu Universitas Brawijaya (UB) dan Universitas Muhammadiyah Malang (UMM).

Program ini merupakan satu inisiatif mobiliti outbound tidak berkredit secara hibrid, dengan pelaksanaan secara fizikal pada 4 hingga 10 Mei dan diteruskan secara dalam talian sehingga 14 Mei. Program ini merupakan kali pertama SOG menjalin kerjasama strategik bersama dua inasis di UUM, sekali gus memperluas jangkauan dan impak program mobiliti antarabangsa kepada lebih ramai mahasiswa.

Delegasi UUM diketuai oleh Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil, Pengetua Inasis Sime Darby, Mohd Yusnaidi Md Sabri, serta dua felo dari Inasis Luar Kampus, Nor Afiq Abd Razak dan Laura Lim Sie Yi.

Sepanjang keberadaan di Jawa Timur, peserta menyertai pelbagai aktiviti merentas budaya seperti mini seminar, campus tour, Bengkel Tarian Tradisional Jawa Timur dan Gamelan, serta sesi diskusi santai bersama duta-duta pelajar, pemimpin mahasiswa serta pelajar antarabangsa. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan ilmiah dan kebudayaan, bahkan memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan pelajar dalam konteks antarabangsa.

Lebih menarik, peserta turut berpeluang meneroka keindahan alam dan kebudayaan setempat melalui lawatan ke beberapa lokasi ikonik seperti Ladang Teh Wonosari, Ladang Epal Batu, Pasar Apung, serta tarikan utama di Malang iaitu Gunung Bromo. Momen bergambar di sekitar Gunung Bromo, Bukit Widodaren, Bukit Teletubies, dan Pasir Berbisik menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang pengembaraan delegasi UUM.

Dr. Mohamad Sukeri berkata, program ini merupakan bukti kesungguhan SOG dalam menyokong agenda pengantarabangsaan UUM dan memperkukuh nilai-nilai global dalam kalangan pelajar.

“Pengalaman yang dilalui oleh pelajar dalam program ini bukan sahaja memperluas cakerawala pemikiran mereka, malah membentuk keupayaan mereka untuk berinteraksi dalam konteks rentas budaya dan memahami keunikan sistem sosial di negara jiran.

“Inilah bentuk pembelajaran sebenar yang berimpak tinggi dan sukar diperoleh di dalam bilik kuliah semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Dr. Farahiyah berkata, program ini memberi dimensi baharu kepada pembangunan sahsiah pelajar UUM melalui pengalaman langsung di luar negara.

Menurutnya, program ini memberi nilai tambah kepada pelajar dalam memperkukuh keyakinan diri, komunikasi dan membina jaringan global.

Katanya, pelajar yang menyertai program ini jelas menunjukkan peningkatan dari segi keterbukaan minda, kemampuan bekerjasama dalam kumpulan rentas budaya dan kesedaran tentang peranan mereka sebagai warga global.

“Selama 7 hari 6 malam di bumi Jawa Timur ini merupakan medan terbaik untuk pelajar keluar dari zon selesa, memahami realiti sosial masyarakat luar, dan memperkukuh nilai empati, toleransi serta keterampilan global yang sangat diperlukan dalam dunia masa kini,” katanya.

Program mobiliti ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global, serta menyokong matlamat antarabangsa UUM dalam mendidik warga dunia yang berwawasan, seimbang dan berkarakter.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button