Mengenal keperluan asas sambil mengasah kemahiran matematik
Gambar SQS
BUKIT TANGGA, 20 Mei 2025: Seramai 48 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Tangga telah menyertai program STI 100³ Kitaran 1.5 – MindaSTEM: Netting the Basic Needs, baru-baru ini.
Program ini telah dikendalikan oleh sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad.
Dr. Nor Aishah berkata, matlamat utama program ini adalah untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menguji minda.
Menurutnya, Netting the Basic Needs memberi fokus kepada kefahaman asas berkaitan keperluan hidup melalui permainan berasaskan konsep STEM yang mengasah kemahiran berfikir secara kreatif sambil menguji kemampuan pelajar menggunakan operasi darab.
Katanya, sepanjang program berlangsung, pelajar menunjukkan keterlibatan aktif dan minat yang tinggi terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Melalui bimbingan secara langsung oleh ahli akademik universiti, pelajar berpeluang memahami bagaimana ilmu STEM boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
“Aktiviti ini memberi impak positif seperti meningkatkan keyakinan pelajar untuk berfikir secara kritikal dan bekerja secara berpasukan. Program ini juga membuka ruang kepada pelajar luar bandar untuk mengenali lebih dekat peranan bidang STEM dalam menyelesaikan isu-isu asas kehidupan serta menginspirasikan mereka untuk meneroka kerjaya dalam bidang tersebut pada masa hadapan,” katanya.
Program STI 100³ Kitaran 1.5 ini membuktikan bahawa usaha memperkenalkan STEM di peringkat sekolah rendah, terutamanya di kawasan luar bandar, mampu memberikan impak positif dan membina asas kukuh terhadap pembangunan minda saintifik dalam kalangan generasi muda.
Pendekatan yang bersifat hands-on, menyeronokkan dan bermakna seperti ini wajar diperluaskan ke lebih banyak sekolah demi melahirkan generasi celik STEM yang bersedia mendepani cabaran masa depan.
Turut serta menjayakan program ini ialah Prof. Madya Dr. Suhaida Abdullah, Dr. Nor Hisham Haron dan Dr. Mohd Azri Pawan Teh. – Suhaida Abdullah