Program STI1003: MathMania Siri III tutup tirai dengan Detektif Data Cilik di SKSAM
Gambar Aisyah Muhd Fardi
SIK, 22 Mei 2025: Program STI1003: MathMania Siri III yang menutup siri terakhir trilogi Program MathMania anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM) telah diadakan pada 13 Mei 2025.
Program ini diketuai oleh Dr. Zurina Hanafi bersama pensyarah, Azatuliffah Alwi dan Prof. Madya Dr. Sharmila Karim.
Dr Zurina yang merupakan alumni SKSAM berbesar hati dapat menjalankan program di alma mater beliau. Kejayaan program ini turut disumbang oleh guru Penyelaras Program, Norsyaleelawati Mansor Mutulili dan kerjasama yang baik dari Ketua Panitia Matematik SKSAM, Mahamad Fazal Mohamad Noor dan Guru Besar SKSAM, Idham Nasri Jaafar.
Dr. Zurina berkata, program ini diadakan untuk meningkatkan minat dan keseronokan dalam pembelajaran matematik di kalangan pelajar Tahun 6, di samping mengukuhkan kemahiran penyelesaian masalah dan meningkatkan kecekapan konsep matematik dalam kehidupan harian. Ini seterusnya dapat membina keyakinan dan sikap positif terhadap matematik.
Program untuk siri ketiga ini dimulakan dengan majlis penutup Program STI1003: MathMania di SKSAM yang disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ahmad Omar.
Seterusnya aktiviti Detektif Data Cilik dijalankan bersama 56 pelajar Tahun 6. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada para pelajar tentang konsep data dan penggunaan statistik asas. Pelajar mengumpul data tentang ahli dalam kumpulan termasuk diri sendiri dan seterusnya mengira ukuran kecenderungan memusat.
Pelajar diberi tunjuk ajar tentang analisis asas berdasarkan data yang dikumpulkan, sebelum mereka menjalankan analisis terhadap data yang telah mereka peroleh. Pelajar lebih menghargai kerana data yang dikumpulkan adalah analisis mengenai diri sendiri dan ahli kumpulan masing-masing.
Di akhir program, pelajar melahirkan rasa gembira apabila dapat memberikan analisis tentang data yang dikumpulkan dan lebih menghargai penggunaan matematik melalui ilmu statistik dalam kehidupan. – Dr. Zurina Hanafi