MB Kedah Rasmi Spa Bekam Graduan UUM
LANGKAWI, 24 Mei 2025: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah merasmikan pembukaan sebuah pusat rawatan, Bekam D’SPA di Kampung Temoyong, Langkawi, semalam.
Majlis perasmian tersebut berlangsung dengan meriah dan turut dihadiri oleh pelanggan, ahli keluarga serta penduduk setempat.
Menteri Besar menzahirkan rasa bangga terhadap inisiatif anak muda Kedah yang berjaya menjadikan ilmu yang dipelajari sebagai asas kepada perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Alhmdulillah, saya berpeluang merasmikan pusat rawatan milik Sayyidah Nafisah dan suami, Syukur Zaini dah masuk 19 tahun beroperasi di pelbagai lokasi.
“Di sini, pelanggan bukan dilayan macam klien tapi macam kawan, macam keluarga sendiri. Itu yang buat orang seronok datang dapatkan rawatan termasuk doktor dan atlet pun berbekam sini.
“Mereka ini bukan calang-calang kerana sudah tempuh macam-macam cabaran dalam dunia niaga. Tapi tetap istiqamah, dengan cita-cita nak luaskan perniagaan, latih lebih ramai perawat, dan hidupkan amalan perubatan sunah dalam masyarakat,” ujarnya.
Beliau amat berbangga dengan usaha mereka ini yang bukan sahaja menghidupkan sunah Rasulullah SAW melalui rawatan bekam, tetapi juga menunjukkan semangat keusahawanan yang tinggi.
“Ini adalah contoh terbaik bagaimana ilmu dan amal boleh digabungkan untuk kemajuan diri dan negeri. Saya ucap tahniah, dan doakan Bekam D’SPA terus berkembang,” ucapnya yang hadir ke Langkawi sempena acara bertaraf antarabangsa, Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2025.
Spa bekam ini diusahakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Dengan gabungan ilmu akademik dan semangat keusahawanan, pusat rawatan ini menjadi bukti bahawa graduan universiti mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan yang inovatif.
Menurut Pengusaha Bekam D’SPA, Sayyidah Nafisah Abdullah, perniagaan ini bukan sahaja bertujuan memberikan perkhidmatan rawatan bekam yang berkualiti, tetapi mencipta platform terapi sunah yang profesional, dipercayai dan mesra masyarakat.
“Kami mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap bekam. Ia bukan lagi rawatan kampung semata-mata, tetapi satu terapi moden yang ada standard, berkesan dan gaya hidup sihat,” katanya.
Bekam ialah proses membuang darah kotor yang mengandungi toksik melalui permukaan kulit dengan cara melukakan badan dan menghisap dengan cawan bekam tanpa kesan sampingan.
“Ibarat kereta setiap 5,000 kilometer kena tukar minyak hitam tetapi kita kena buang minyak lama terlebih dahulu sebelum mengisi minyak yang baharu. Begitu juga badan kita, adakalanya ubat sudah tidak memberi kesan akibat terlalu banyak toksik yang terkumpul di dalam badan jadi buang darah kotor terlebih dahulu baru ubat dapat bertindak balas.
“Ramai yang mula buka mata dan timbul kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan melalui kaedah rawatan bekam setelah ramai yang baru tahu fungsi sebenar bekam dalam membersihkan darah serta menguatkan sistem organ sekali gus meningkatkan imuniti badan,” ujarnya.
Menurutnya, pelanggan datang dengan bermacam penyakit selain dengan masalah, namun sebagai perawat kita perlu sabar dengan kerenah pesakit, menjiwai perasaan, terbuka dan menjadi pendengar yang baik.
“Bagi orang yang panas baran mudah kena jantung bayangkan setiap hari marah, kita pam darah dengan pantas dan kebanyakan sakit jantung dan stres, datang dari fikiran jadi kalau fikiran positif, jasmani pasti sihat,” kata anak kelahiran Sungai Baru, Alor Setar.
Ujarnya, berbekam sudah terbukti merawat pelbagai penyakit termasuklah migrain, sembelit, obesiti, pening kepala, kencing manis, kolestrol, mata, darah tinggi, membuang panas dan angin berlebihan dalam badan agar hidup sihat berpanjangan.
Manfaat bekam juga meningkatkan daya tahan badan, antibodi menjadi kuat, mencuci darah, meningkatkan aktiviti saraf tulang belakang, lemah tenaga batin, tegang urat leher, bisul selain menghilangkan pengaruh sihir.
“Jika kerap mengantuk dan lesu itu petanda seseorang mengalami simptom angin dan darah toksin yang tinggi dalam sistem badan tetapi ingat, berbekamlah dengan prosedur yang selamat dan bersih agar tubuh ringan dan segar,” kongsinya.
Berkongsi cerita, Sayyidah pernah dikunjungi pesakit yang menderita strok selama 25 tahun sehingga sukar bercakap, tidak boleh mengangkat tangan serta lemah kaki untuk berjalan.
“Ketika dibekam banyak darah kotor yang keluar dan setelah beberapa siri bekam, keajaiban berlaku akhirnya sembuh dengan izin Allah.
“Begitu juga pesakit kencing manis kronik, selepas rawatan dia memberitahu kakinya yang bernanah telah kering, bengkak mulai surut, air bisa mula kurang, sudah tidak demam menggeletar badan malah selera makan bertambah dan kaki makin kuat,” kongsinya.
Bekam ini ada adab-adabnya dimulakan dengan bismillah, selawat, doa, ingatkan pesakit supaya yakin pada Allah yang menyembuhkan selain menjaga batas syariat.
Tambahnya, waktu yang paling baik untuk berbekam ialah pada hari Khamis atau 17, 19 dan 21 bulan Islam selain larangan berbekam pada hari Rabu.
“Bila saya sekeluarga beramal dengan bekam pada masa sama sinergi dengan herba, senaman dan jaga pemakanan, nak sakit setahun sekali pun susah, sihat itu nikmat satu anugerah yang tak ternilai,” pesannya.
Memulakan karier seawal usia 17 tahun ketika masih di bangku sekolah, Sayyidah mengakui perjalanan ini dilakar indah ibu tercinta, Asiah Din yang telah menghantarnya menyertai Kursus Perubatan Jawi di bawah bimbingan HPA Sdn. Bhd. bagi melahirkan herbalis muda pada 2005 selama 2 bulan di HPA Jejawi, Perlis.
Beliau juga berharap kejayaan spa ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai graduan untuk menceburi bidang keusahawanan dan tidak terlalu bergantung kepada pekerjaan makan gaji.
Spa bekam tersebut menawarkan pelbagai jenis rawatan termasuk bekam kering, bekam basah, urutan terapi dan konsultasi kesihatan berasaskan amalan perubatan Islam.
Untuk info dan maklumat lanjut sila hubungi Sayyidah di talian 011-5954 9038.