UUM perkukuh jalinan serantau dalam Malaysia Expo Dili 2025
DILI, 25 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Malaysia Expo Dili 2025 (MYExpo Dili) yang berlangsung pada 9 dan 10 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Dili, Timor-Leste. Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada usaha UUM untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang pendidikan tinggi dan mempromosikan keunggulan akademik universiti di peringkat antarabangsa.
MYExpo Dili 2025, yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Dili dengan kerjasama My Events International Sdn Bhd, bersempena dengan Pengerusi ASEAN Malaysia 2025 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), menghimpunkan lebih 30 entiti terkemuka dari Malaysia termasuk institusi pendidikan, syarikat teknologi, dan penyedia perkhidmatan profesional.
UUM, sebagai satu-satunya universiti awam yang memfokuskan kepada bidang pengurusan di Malaysia, mengambil peluang ini untuk mempamerkan program-program akademik unggulnya, termasuk dalam bidang pengurusan, ekonomi, dan teknologi maklumat. Delegasi UUM turut mengadakan sesi libat urus dengan pelajar dan institusi pendidikan tempatan bagi meneroka peluang kerjasama akademik dan mobiliti pelajar.
Penyertaan UUM dalam ekspo ini sejajar dengan komitmen universiti untuk memperluas jaringan antarabangsa dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di rantau ASEAN. Melalui platform seperti MYExpo Dili, UUM berharap dapat menarik minat pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia serta memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan Timor-Leste. – Prof Madya Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin