Insolvensi staf fokus SUK Kedah
Berita dan gambar M. Khairy Mukhtaruddin
ALOR SETAR, 25 Mei 2025: Dekan Pusat Pengajian Ekonomi. Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri bersama beberapa pegawai kanan SEFB telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Sharhida Nazuha Saad di Bangunan Wisma Darul Aman, baru-baru ini.
Dalam pertemuan tersebut, pihak SEFB telah membentangkan tawaran program pembangunan eksekutif termasuk Global Executive Programme yang mendapat perhatian dan sambutan positif daripada pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM).
Sementara itu, Sharhida menyatakan bahawa program seperti ini merupakan peluang yang sangat baik untuk Pegawai Tadbir Negeri (PTN) menimba ilmu dan kemahiran baharu daripada pakar akademik serta profesional, yang kemudiannya boleh diterjemahkan ke dalam pelaksanaan tugasan harian mereka.
Beliau yang juga merupakan Pengurus Besar Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN), turut menyambut baik dua program yang dicadangkan oleh SEFB, khususnya program Pengurusan Kewangan atau Financial Literacy yang dijangka dapat dilaksanakan seawal Ogos tahun ini.
Isu insolvensi dalam kalangan penjawat awam menjadi antara topik utama masa kini di mana beliau menekankan aspek celik kewangan dan pengurusan kewangan peribadi adalah penting dalam menangani isu tersebut. Justeru, program ini sememangnya mendapat perhatian serius daripada pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM), khususnya sebagai langkah proaktif menangani cabaran kewangan yang dihadapi oleh sebilangan staf di peringkat negeri.
Dr. Bakti merakamkan penghargaan atas kesudian pihak SUK Kedah menerima kunjungan tersebut serta memberi ruang untuk pembentangan dilakukan.
Beliau turut menyatakan harapan agar jalinan kerjasama ini dapat membuahkan kejayaan dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam pembangunan sumber manusia sektor awam di negeri Kedah.