Education

Minda positif dan kenali diri

SINTOK, 25 Mei 2025: Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Kedah bekerjasama dengan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program bertajuk “Introspeksi: Minda Positif Dan Kenali Diri” di Dewan Kuliah, Masjid Sultan Badlishah, UUM.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan peserta kepada konsep introspeksi diri dan kepentingan memperkasa minda positif dalam kehidupan harian.

Dengan mengambil kira konteks sosial dan keagamaan, program ini diharapkan dapat memberi dorongan kepada peserta untuk menguruskan tekanan dan meningkatkan pemahaman terhadap diri sendiri.

Program seperti ini sangat penting bagi membina kesedaran dalam kalangan peserta tentang kepentingan mengenali potensi diri serta membentuk pemikiran yang lebih positif dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Selain itu, program ini juga bertujuan memperkasakan kemahiran pengurusan tekanan secara efektif agar peserta dapat mencapai kesejahteraan emosi dan kejayaan peribadi.

Pengisian yang sangat berkesan dengan tajuk “Urus Stres Terus Sukses” telah disampaikan oleh Hassan Sani Birinsani, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Negeri Kedah.

Ceramah tersebut menekankan kaedah menangani stres secara praktikal dan realistik dalam kehidupan harian.

Slot kedua pula membincangkan topik “Tribunal Akta Anti Gangguan Seksual (AAGS)” disampaikan oleh Solehah Ismail, Pegawai Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah.

Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada perlindungan undang-undang berkaitan gangguan seksual serta saluran yang betul untuk membuat aduan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Jamilah Mohd Salleh yang mewakili Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah.

Melalui penganjuran program ini, pihak penganjur berharap agar peserta bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman tentang kepentingan kesihatan mental dan emosi, malah berupaya membina jati diri yang lebih kukuh. Diharapkan juga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform sokongan psikososial kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan wanita dan warga kampus.

Hadir sama, Ustazah Madihah Mohamed Ibrahim yang mewakili Pusat Islam Universiti Utara Malaysia sebagai rakan penganjur.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button