Education

SCIMPA dilantik sebagai perunding industri di Jidong, China

Gambar SCIMPA

KEQIAO (CHINA), 25 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail telah diberi penghormatan tertinggi apabila beliau dilantik secara rasmi sebagai Perunding Industri Kehormat oleh Jawatankuasa Pembangunan Bandar Jidong, Keqiao.

Pelantikan ini merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang pembangunan industri dan inovasi.

Jawatankuasa Masyarakat Bandar Jidong menaruh keyakinan bahawa sumbangan beliau akan membantu memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan sektor industri kreatif China, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di rantau berkenaan.

Ini merupakan salah satu cabang pengiktirafan dari UNESCO, untuk warisan dan budaya di Jidong, China.

Jidong terkenal tempat ke lima terbaik di China dengan keindahan alam semula jadi dan mempunyai pokok yang berusia hampir 1,500 tahun masih kekal subur di tanah Jidong ini malah diiktiraf oleh UNESCO.

Dr. Adzrool Idzwan menyatakan rasa syukur dan komitmennya untuk menyumbang kepakaran dalam memperkukuh agenda pembangunan industri di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, peluasan kerjasama ini juga akan melibatkan ICIMSC SCIMPA untuk sebarang bentuk perundingan UUM dan Bandar Jidong, malah membuka peluang lebih cerah kepada penyelidik-penyelidik dari UUM.

“Usaha ini selari dengan hasrat Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) untuk meletakkan segmen industri kreatif di peta dunia.

“Pelantikan ini bukan sahaja satu penghormatan, malah peluang ini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara UUM dan Bandar Jidong dalam aspek teknologi, pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Dengan pelantikan ini, Dr. Adzrool Idzwan dijangka terlibat secara langsung dalam perancangan strategik, konsultasi industri, serta pemindahan teknologi yang melibatkan pelbagai sektor utama di Bandar Jidong dan kawasan sekitarnya.

Pelantikan ini turut dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China dalam bidang akademik dan industri. – M Shahadat Ali Nordin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button