Education

Pelajar UUM dilantik ejen SDG Malaysia laksana projek belia untuk pembangunan lestari

Berita dan gambar Wee Khai Nern

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Wee Khai Nern, 24, terus mengukir kejayaan apabila dilantik sebagai ejen SDG Malaysia bagi sesi 2025/2026, susulan penglibatan aktif dan cemerlang dalam Persidangan Malaysia Youth SDG Summit 2025/2026 yang berlangsung baru-baru ini anjuran MySDG Academy dengan kerjasama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.

Pelantikan ini meletakkan Khai Nern sebagai antara barisan pemimpin muda yang akan memacu pelaksanaan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di peringkat komuniti, terutama dalam aspek pemeliharaan budaya, literasi digital, pendidikan berkualiti dan kesedaran iklim.

Khai Nern berkata, tanggungjawab ini bukan sekadar penghargaan tetapi satu amanah besar untuk menterjemah SDG kepada tindakan nyata.

“Saya berbesar hati dengan pelantikan ini dan bersedia memikul tanggungjawab dalam merangka serta melaksanakan projek-projek akar umbi yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.

Khai Nern turut memaklumkan bahawa antara projek utama yang sedang dirancang termasuklah pembangunan platform digital untuk pendokumentasian warisan bahasa komuniti Peranakan Cina Kelantan, seiring dengan prinsip SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).

Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat berkata, dia percaya gabungan antara ilmu akademik dan semangat kesukarelawanan mampu menjadi teras penting dalam membentuk masa depan yang lebih lestari.

“Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Belia perlu bangkit sebagai ejen perubahan.

“Saya ingin menjadi jambatan antara teknologi dan pemuliharaan budaya, demi memastikan warisan terus hidup dalam arus digital,” katanya.

Malaysia Youth SDG Summit merupakan platform tahunan yang menghimpunkan suara belia dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada agenda pembangunan mampan negara.

Pelantikan Ejen SDG dilakukan secara merit berdasarkan penglibatan aktif, keupayaan memimpin dan potensi melaksanakan perubahan sebenar di lapangan.

Dengan semangat dan visi yang jelas, Khai Nern kini bersedia menyahut cabaran memimpin perubahan demi masa depan yang inklusif, lestari dan berdaya tahan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button