Education

Keseimbangan insaniah dan akademik membentuk generasi cemerlang

Berita dan gambar Mohammad Al-Fadzrin Rasad (Pelajar Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan)

KANGAR, 25 Mei 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program tanggungjawab sosial ‘Thinkers Home Run in Perlis’ di pusat kebajikan untuk membentuk pelajar yang seimbang akademik dan nilai insaniah.

Program tersebut merupakan kerjasama antara Persatuan Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB) serta Kelab Softball UUM.

Penolong Naib Canselor COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang UUM, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program ini menumpukan pembinaan jati diri serta semangat kerjasama melalui aktiviti berkumpulan yang dianjurkan di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Perlis.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti yang telah diadakan seperti bola beracun, permainan berkumpulan dan pendedahan sukan sofbol.

Katanya, program ini wajar untuk membentuk pelajar yang holistik, merangkumi insaniah dan akademik.

“Melalui program seperti ini, kita melihat bagaimana pelajar belajar untuk memimpin, bekerja dalam pasukan, mengurus masa, berkomunikasi secara berkesan dan paling penting memahami erti memberi.”

“Inilah nilai yang kita impikan daripada seorang graduan universiti bukan hanya untuk mengejar kerjaya, tetapi turut menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berharap agar program seperti ini dapat dijadikan penanda aras bagi penganjuran aktiviti pelajar universiti yang bukan hanya mementingkan pencapaian individu, tetapi juga kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, Pengarah program, Nadyatul Alani Mohd. Nazri berkata, program ini bukan sekadar acara berbentuk riadah, malah ia adalah manifestasi institut pendidikan tinggi seperti UUM untuk menjangkau masyarakat.

Menurutnya, mereka mengambil pendekatan menggabungkan sukan softball dengan kesedaran tentang kesihatan fizikal dan mental, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3: Good Health and Well-being.

Program diakhiri dengan pemberian sumbangan kepada pusat pertubuhan kebajikan yang disampaikan oleh Dr. Harlida.

*Gambar kanak-kanak dikaburkan bertujuan privasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button