UUM bekerjasama dengan DHL APSSC
Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya
KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025: Siri Jelajah Industri Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) diteruskan dengan telah mengadakan kunjungan rasmi ke DHL Asia Pacific Shared Services Sdn. Bhd. (DHL APSSC).
Delegasi diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, bersama Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh; Timbalan Pengarah, Bahagian Hubungan Industri CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, dan Penyelaras Latihan Industri COLGIS, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli.
Ketibaan disambut mesra oleh Business HR dan APSSC CIS Country Champion, Saiful Nahar Mohd Rusli, manakala sesi taklimat disampaikan oleh Ketua Sumber Manusia DHL SSC, Tharaka De Silva.
Pertemuan ini membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam aspek penempatan latihan industri, pembangunan bakat pelajar serta penglibatan strategik masa hadapan antara UUM dan DHL.
Dr. Chandrakantan berkata, lawatan ini benar-benar membuka mata dan memberi peluang kepada perbincangan yang sangat bermakna dan konstruktif untuk kedua-dua pihak.
DHL turut berkongsi struktur kepimpinan mereka yang dinamik kerana terdiri daripada lima kewarganegaraan utama – Filipina, Sri Lanka, Malaysia, Korea dan Amerika Syarikat.
Secara keseluruhan, DHL mempunyai pekerja dari lebih 22 negara dan beroperasi menggunakan 13 bahasa perniagaan.
Dalam membincangkan potensi latihan industri, Tharaka De Silva menekankan bahawa terdapat keperluan yang jelas untuk merapatkan jurang antara akademik dan industri, dan kerjasama seperti ini adalah langkah penting ke arah tersebut.
Selain itu, DHL menekankan bahawa mereka mencari calon yang bukan sekadar berkelayakan di atas kertas, tetapi mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran multinasional — “smart players, not hard players.”
Lawatan ini turut membuka potensi kerjasama seperti inisiatif School of Hard Knocks dan cadangan mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bersama UUM.