OYAGSB bantu usahawan wanita dalam kemahiran digital
Gambar Wan Muhamad Zhafri Wan Bakar
POKOK SENA, 3 Jun 2025: Penyertaan usahawan wanita dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari hari ke hari, walau bagaimanapun, mereka masih berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu ditangani bagi membolehkan perniagaan yang diceburi berdaya saing di pasaran.
Pengarah Akademik OYAGSB Sintok, Prof. Madya Dr. Francis Chuah Chin Wei berkata, antara cabaran utama ialah jurang kemahiran digital yang mengehadkan penglibatan mereka dalam bidang e-dagang dan pemasaran digital.
Menurutnya, kekurangan ini menyebabkan ramai usahawan wanita ketinggalan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Sebagai langkah proaktif, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu pada 20 Mei lalu melibatkan golongan wanita termasuk ibu tunggal dan peniaga kecil di Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena.
Program ini telah dikendalikan oleh tiga penceramah yang juga pakar bidang dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) bersama pelajar pascasiswazah serta staf OYAGSB.
Antara topik yang dibincangkan termasuk asas pengurusan kewangan, strategi pemasaran produk IKS dan pengenalan kepada sistem penanaman hidroponik yang disertai 47 peserta wanita dari kampung tersebut dan kawasan sekitarnya.
Selain itu, program ini turut dimanfaatkan dengan aktiviti kebajikan menerusi penyampaian sumbangan barangan keperluan dapur kepada 10 keluarga asnaf. Sumbangan telah disampaikan oleh Dr. Francis Chuah Chin Wei.
Pelajar pascasiswazah UUM, Sarliza Saari yang turut menjadi sukarelawan dalam program ini berkata, pengalaman yang diperoleh amat bermakna dan menyeronokkan.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini akan dianjurkan pada masa akan datang, kerana ia bukan sahaja memperkasa komuniti tetapi turut memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya. – Nor Hashima Husin