Education

Asasian Prestige Night 2025 rai kecemerlangan 268 pelajar Asasi Pengurusan

Gambar Shamsaimi Ezil dan Pusat Asasi Pengurusan

ALOR SETAR, 3 Jun 2025: Seramai 268 pelajar diraikan pada Majlis Asasian Prestige Night, Program Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 yang berlangsung pada 23 Mei lalu di ABC Grand Ballroom.

Majlis ini dihadiri oleh Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar dan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.

Dalam ucapannya, Dr. Muhammad Fuad menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang pelajar sepanjang tempoh pengajian.

“Alhamdulillah, pada 21 Mei yang lalu, pelajar telah diraikan dalam Majlis Apresiasi sempena kejayaan mereka sepanjang Semester Pertama dan Kedua.

“Seramai 113 pelajar berjaya memperoleh Purata Mata Semester (PMS) 4.0 pada semester pertama, manakala 93 pelajar mencatat PMS 4.0 pada semester kedua. Lebih membanggakan, seramai 63  pelajar berjaya mengekalkan kecemerlangan PMS 4.0 bagi kedua-dua semester,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pelajar mengekalkan momentum kecemerlangan akademik dan sahsiah sehingga ke semester ketiga, sebagai persediaan melangkah ke peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan UUM, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Inasis MAS, pensyarah serta warga kerja Pusat Asasi Pengurusan atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang setahun pengajian pelajar Program Asasi Pengurusan sesi 2024/2025, kohort ke-11 yang bakal menamatkan pengajian peringkat Asasi tidak lama lagi.

Menurutnya, Pusat Asasi Pengurusan komited dalam membentuk pelajar bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah turut menyerlah dalam pelbagai aspek lain.

“Sepanjang tahun ini, pelbagai kejayaan telah dicapai dan pihak pengurusan sentiasa merangka pelbagai inisiatif serta program untuk mencorak pembangunan pelajar secara holistik.

“Kami percaya bahawa dengan bimbingan yang berterusan, lebih ramai bakat muda akan dapat diketengahkan ke peringkat industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM,” katanya.

Dr. Muhammad Fuad turut menekankan kepentingan untuk menanamkan rasa cintakan Universiti dalam diri setiap pelajar.

Menurutnya, pelajar lepasan asasi merupakan feeder kepada UUM. Oleh itu, pamerkanlah kecemerlangan semasa menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda kelak.

Katanya, pihak pengurusan UUM meletakkan harapan tinggi agar anak didik Program Asasi Pengurusan dapat bergelar graduan kelas pertama dalam konvokesyen akan datang.

Pada majlis itu, Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025, Muhammad Thaqif Amsyar Azman turut berucap mewakili pelajar, diikuti penyampaian anugerah penghargaan kepada pelajar, staf Pusat Asasi Pengurusan dan tenaga pengajar Program Asasi Pengurusan yang telah menunjukkan tahap kecemerlangan melalui bakti-bakti yang dicurahkan dalam mengharumkan nama Pusat Asasi Pengurusan.

Sebanyak tujuh anugerah iaitu Anugerah Bestari Asasi, Anugerah Bitara Asasi, Anugerah Bakti Asasi, Anugerah Mutiara Asasi, Anugerah Projek Unggul, Anugerah Kelas Asasi dan Anugerah Khas Asasi telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Asasi Pengurusan.

Hadir sama, Pengetua Inapan Siswa (Inasis) MAS, Sharima Ruwaida Abbas, Felo Inasis MAS dan tenaga pengajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025.

Terdahulu, PAP telah meraikan kejayaan pelajar Program Asasi Pengurusan Kohort 11 pada Majlis Apresiasi dan Anugerah Program Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 di Auditorium SoIS.

Dr. Muhammad Fuad merakamkan tahniah kepada semua pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengajian semester pertama dan kedua Sesi 2024/2025. – Nur Hidayah Abdullah dan Auni Hasinah Zanudin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button