Inasis Sime Darby beri kesedaran kesihatan kepada penduduk Kampung Permatang Keriang
Gambar Nur Aliyah Hanis Rahim dan Nur Ezatul Masida Maskur
PERLIS, 4 Jun 2025: Biro Kebajikan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Inapan Siswa (Inasis) Sime Darby, telah menganjurkan program kesedaran kesihatan bertajuk “Antara Realiti Dan Persepsi: Apa Itu Sebenarnya Penyakit Mental?” di Dewan Orang Ramai Kampung Permatang Keriang, Sanglang.
Program ini telah melibatkan seramai 50 penduduk kampung dan menampilkan penceramah, Dr. Aimi Izwani Mohd Nazli, Pegawai Perubatan di Jabatan Psikiatri Dan Kesihatan Mental, Hospital Tuanku Fauziah.
Dr. Aimi memberi pengetahuan asas penyakit mental kepada masyarakat kampung khususnya warga emas untuk memupuk kesedaran untuk lebih peka terhadap penjagaan kesihatan mental.
Beliau menekankan bahawa kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial individu, yang memainkan peranan penting dalam keupayaan seseorang menangani tekanan serta menjalani kehidupan secara produktif.
Dr. Aimi turut menyeru agar masyarakat lebih terbuka dalam membincangkan isu kesihatan mental, sekali gus membantu memecahkan tembok stigma yang membelenggu ramai pihak.
Di samping mendengar ceramah, penduduk kampung juga disediakan dengan aktiviti pemeriksaan secara percuma yang dikendalikan oleh pihak Kementerian Kesihatan dari Bahagian Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), Perlis.
Pemeriksaan kesihatan merangkumi pemeriksaan tekanan darah, tahap gula dalam darah dan BMI kepada penduduk kampung yang hadir.
Pengarah Program, Maha Letchmi Kuna Segaran meluahkan penghargaan atas sokongan semua pihak dan menyatakan objektif utama program ini adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan isu kesihatan mental dan memecahkan stigma telah berjaya dicapai.
Menurutnya, sambutan yang diberikan amat mengagumkan, dan dia berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Aktiviti rewang turut diadakan secara bergotong-royong yang melibatkan persediaan memasak seperti membersih, memotong bahan mentah dan memasak makanan.
Pengerusi Kawasan Rumah Tangga Kampung, Ku Hashiam Ku Bakar dan komuniti setempat telah memberikan kerjasama erat sepanjang program berlangsung.
Ku Hashiam berterima kasih kepada pihak mahasiswa UUM yang sudi menyertai program ini kerana program seperti ini sangat membantu untuk memberi kesedaran tentang pentingnya jaga kesihatan mental dalam kalangan penduduk.
Beliau juga berharap agar lebih banyak program seperti ini diadakan di kampung sekitar untuk memberikan kesedaran dan pemahaman tentang penyakit itu. – Shashine Kannuchamy