Alumni UUM perkukuh jalinan strategik di Program Sinergi Johor
Gambar Pusat Alumni UUM
PASIR GUDANG, 4 Jun 2025: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pemasaran Akademik UUM telah menganjurkan program Sinergi Johor: Makan Malam dan Promosi Akademik UUM Bersama Agensi dan Alumni, di Menara Aqabah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Johor, baru-baru ini.
Program ini telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang merangkap alumni UUM, Dato’ Mustaffa Kamal Dato’ Shamsudin termasuk Ahmad Sujaie Nanyan dari FIMA Bulking Services Berhad bagi mewakili penaja utama dari industri.
Seramai 150 tetamu termasuk alumni serta pegawai-pegawai dari MBPG telah menghadiri program ini yang bukan sekadar makan malam, tetapi turut menampilkan sesi promosi program akademik pascasiswazah UUM yang telah membuka peluang kepada agensi dan alumni untuk meneroka kolaborasi pendidikan lebih meluas bersama universiti.
Dalam program tersebut, Mustaffa Kamal menyatakan minat yang tinggi terhadap program Sarjana UUM dan menyuarakan hasrat untuk menghantar sekurang-kurangnya 40 pegawai MBPG bagi melanjutkan pengajian mereka.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan fasiliti pembelajaran di MBPG bagi menyokong pelaksanaan program tersebut. UUM menyambut baik cadangan ini sebagai satu langkah permulaan ke arah kerjasama strategik jangka panjang di negeri Johor.
Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar bagi pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini, khususnya Ahmad Sujaie dari FIMA Bulking Services Berhad, dan Datuk Bandar Pasir Gudang, atas sokongan padu, tajaan serta komitmen yang amat dihargai. Semangat kerjasama ini menjadi cerminan kekuatan jaringan alumni yang sentiasa menyokong aspirasi universiti.
Menurutnya, beliau berharap program tersebut menjadi landasan baharu dalam memperluas jaringan strategik antara UUM, alumni dan agensi di peringkat negeri, sekali gus memperkukuh peranan alumni sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan institusi dan agenda pendidikan negara.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed serta Pengarah Bahagian Pemasaran UUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, yang turut menyampaikan taklimat promosi akademik. – Fatin Najwana Ahmad Tarmizi (Pelajar Praktikal)