Penggunaan Canva sebagai platform pembelajaran digital: Inisiatif SULAM UUM di FELDA Laka Selatan
Berita dan gambar Dr. Muhammad Zakir Abdullah
FELDA LAKA SELATAN, 16 Jun 2025: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu projek komuniti di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di Sekolah Kebangsaan FELDA Laka Selatan, baru-baru ini.
Projek ini melibatkan penyertaan seramai 15 guru yang berdedikasi dari sekolah tersebut serta 40 pelajar program ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi, UUM.
Pensyarah Kanan, Dr. Muhammad Zakir Abdullah berkata, objektif utama projek ini adalah untuk mempromosikan pembangunan kaedah pembelajaran interaktif menggunakan Canva sebagai platform pembelajaran digital dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan secara berterusan.
Dengan penggunaan aplikasi ini, projek ini dapat menggalakkan guru-guru mencipta bahan pengajaran yang kreatif yang berbentuk digital seperti poster infografik, laman web interaktif dan pelbagai kandungan pembelajaran lain.
Menerusi inisiatif ini, guru dijangka menghasilkan kandungan interaktif yang membolehkan pelajar menyiapkan kerja rumah dan tugasan secara dalam talian dalam persekitaran yang lebih dinamik.
Penggunaan Canva bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik bagi pelajar, malah turut meningkatkan kemahiran pengajaran digital dalam kalangan guru.
Program ini mencerminkan komitmen UUM dalam menyumbang kepada masyarakat dengan memanfaatkan kepakaran akademik untuk menyokong sekolah-sekolah tempatan dalam usaha meningkatkan hasil pembelajaran melalui teknologi dan inovasi.