Education

Bengkel Pemantapan Tenaga Pengajar Halal (TPH) tingkatkan kompetensi pengurusan IHM 

Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi

PULAU PINANG, 16 Jun 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited dalam memperkasakan pengetahuan dan kompetensi Tenaga Pengajar Halal (TPH) menerusi penganjuran Bengkel Pemantapan Tenaga Pengajar Halal (TPH) yang telah diadakan di Hompton Hotel pada 12 hingga 14 Jun lalu.

Seramai tujuh staf akademik dan seorang staf pentadbiran IHM telah menghadiri bengkel ini.

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan meningkatkan kompetensi TPH secara lebih mendalam mengenai keperluan dan prosedur pematuhan halal dalam pensijilan halal di Malaysia, selain mengukuhkan silibus pengajaran dan pembelajaran bagi latihan serta kursus halal yang ditawarkan oleh IHM sepanjang tahun.

Menurutnya, program ini turut melibatkan pegawai daripada Bahagian Pengurusan Halal Negeri Kedah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEIK) bagi sesi penyediaan dan penilaian bahan pengajaran halal berdasarkan standard terkini dan pemantapan kaedah latihan halal.

Mereka berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan pelaksanaan audit halal, pengurusan dokumentasi sokongan serta isu-isu terkini yang sering menjadi cabaran kepada pengusaha industri makanan dan perkhidmatan.

“Penganjuran program seperti ini amat penting dalam usaha memastikan para TPH memahami tanggungjawab mereka dalam menyampaikan ilmu berkaitan halal kepada pihak industri dengan lebih kompeten dan terbaik, secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan peserta latihan terhadap kejituan ilmu dan penyampaian TPH yang relevan.

“Kita perlu memastikan setiap individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyediaan makanan, minuman, dan perkhidmatan halal memiliki tahap kefahaman dan kompetensi yang baik. Bengkel ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada TPH malah menjadi platform strategik untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan amalan terbaik dalam pengurusan halal,” katanya.

Lantikan TPH adalah lantikan yang sah dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) bagi individu yang telah lulus dalam Kursus Wajib Tenaga Pengajar Halal (KWTPH). Setiap tenaga pengajar yang terlibat dalam latihan halal kepada industri perlu memiliki Sijil Tenaga Pengajar Halal (TPH) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi melayakkan mereka untuk memberi latihan halal kepada industri.

Penganjuran bengkel ini bukan sekadar memberi nilai tambah kepada TPH, malah menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman yang amat berharga dalam memperkukuhkan amalan pengurusan halal di peringkat industri.

Kerjasama erat antara pihak akademik dan agensi penguatkuasaan halal melalui program sebegini diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan ekosistem halal yang lebih berdaya saing dan berintegriti.

IHM akan terus komited memperluaskan inisiatif seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha strategik ke arah memperkasakan ilmu dan kompetensi halal, bukan sahaja dalam kalangan pengamal industri, malah kepada masyarakat umum bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai pusat rujukan halal bertaraf antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button