Hari TVET Negara 2025 beri pendedahan dan peluang masa depan untuk pelajar UUM
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal dan Pejabat Perdana Menteri
MELAKA, 16 Jun 2025: Seramai 30 pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Karnival Kerjaya MYFutureJobs sempena Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Karnival ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang turut menyampaikan ucapan dasar mengenai hala tuju TVET sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan utama dalam membina masa depan Malaysia yang mampan dan berdaya saing. Graduan TVET adalah nadi pembangunan industri negara,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kerjasama antara institusi TVET dan pihak industri, termasuk melalui platform padanan pekerjaan seperti MYFutureJobs, demi menjamin peluang pekerjaan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.
Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan RM10 juta khusus untuk TVET Negeri Melaka dan bersetuju untuk tambah peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Majlis TVET Negara untuk mengendali program TVET, teknikal dan keusahawanan.
Pelajar UUM yang terdiri daripada pelbagai program seperti Teknologi Maklumat, Logistik dan Pengangkutan, Pengurusan Sumber Manusia dan telah mengambil peluang menyertai sesi temu duga terbuka, seminar kerjaya, bengkel resume serta simulasi temu duga sepanjang karnival berlangsung.
Pegawai pengiring Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Norzalida Abdul Aziz berkata, penyertaan ini bertujuan mempersiapkan pelajar dengan maklumat serta kemahiran yang relevan untuk menghadapi cabaran pasaran kerja.
“Karnival ini membuka ruang besar kepada pelajar untuk memahami keperluan industri dan melihat sendiri potensi TVET dalam kerjaya mereka,” katanya.
Peserta, Muhammad Arif Nurhakim Mazlan, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Teknologi berkata, karnival ini bukan sahaja memberi pendedahan luas tentang kerjaya, malah membina keyakinan untuk menghadiri sesi temu duga sebenar.
Kehadiran pelajar UUM dalam program ini turut disambut baik oleh pihak penganjur yang menyifatkan penglibatan institusi pengajian tinggi sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.