Campus

Sinergi UUM-JCORP perkukuh kerjasama strategik universiti dan industri

SINTOK, 17 Jun 2025: Program Sinergi Universiti-Industri Bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP) telah berlangsung di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara pihak akademik dan industri.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berimpak tinggi di bawah kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), UUM dan JCORP melalui program JCORP-UUM Mentorship.

Dalam perkongsian bertajuk “The Knowledge Pact: Designing Symbiotic Futures Between Universities & Industries”, Presiden dan Ketua Eksekutif JCORP, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan serta SOG atas pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung UUM.

“UUM telah melahirkan graduan berkualiti tinggi dan alumni yang hebat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya baru-baru ini menerima kunjungan delegasi UUM yang diketuai oleh Naib Canselor ke ibu pejabat JCORP, yang membuka ruang kepada perbincangan mendalam berkaitan dasar tadbir urus dan potensi kerjasama dalam melahirkan pemimpin masa hadapan.

“Persoalannya kini bukan lagi apa yang perlu diajar oleh universiti atau apa yang diperlukan industri, tetapi mampukah kita mereka bentuk masa depan bersama dan mencapainya secara kolektif?” tegas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa pengalaman pembelajaran masa kini perlu direka bentuk secara menyeluruh — bukan semata-mata untuk melahirkan graduan, tetapi sebagai sistem pembangunan bakat yang mampan.

“Ini memerlukan pendekatan pemikiran dan kerjasama baharu. Bagi pihak industri, ini bermakna mereka perlu tampil sebagai pelabur dan pembina bersama dalam membentuk bakat, ilmu dan nilai baharu,” katanya.

Sementara itu, Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid turut merakamkan penghargaan atas kesudian Datuk Syed Mohamed hadir dan berkongsi ilmu serta pengalaman berharga bersama warga UUM.

“Kehadiran Datuk adalah peluang terbaik untuk kita mendalami ilmu dan membentuk pemikiran strategik yang penting dalam pembangunan sebagai ahli akademik dan rakan industri,” katanya.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara institusi akademik dan industri, khususnya melalui peranan Industry Mentorship dalam pembangunan kapasiti dan kebolehlaksanaan ilmu dalam dunia sebenar.

Program ini menghimpunkan tokoh-tokoh industri dan warga akademik dalam satu platform ilmu yang bertujuan memperkasa kefahaman terhadap keperluan semasa industri, serta meneroka pendekatan strategik bagi menjalin kerjasama berimpak tinggi, terutamanya dalam pembangunan modal insan dan penyelidikan. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button