Education

Resensi buku UUM Press kupas masalah sosial dalam masyarakat

Gambar UUM Press

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025: UUM Press telah menganjurkan satu program resensi buku pada 27 Mei lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Program yang diadakan di pentas Republika MAPIM ini telah memperkenalkan dua karya ilmiah terbaharu terbitan UUM Press yang mengupas isu sosial dan undang-undang berkaitan kanak-kanak dan remaja yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat.

Buku pertama berjudul Anak Tak Sah Taraf Menurut Lensa Hukum Syarak dan Undang-Undang di Malaysia ialah hasil karya Dr. Adibah Bahori (UiTM) dan Dr. Azizah Mat Rashid (UIS), manakala buku kedua Delinkuensi dan Keadilan Sosial adalah hasil tulisan Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir (UUM). Kedua-dua buku ini menawarkan wacana akademik yang mendalam dan kritikal terhadap permasalahan sosial semasa di Malaysia.

Buku Anak Tak Sah Taraf Menurut Lensa Hukum Syarak dan Undang-Undang di Malaysia membincangkan status anak tak sah taraf dari perspektif Islam dan kaedah syarak menangani isu ini serta implikasi undang-undang terhadap anak-anak yang dilahirkan di luar perkahwinan yang sah.

Sementara itu, buku Delinkuensi dan Keadilan Sosial karya Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir memberi tumpuan kepada tingkah laku delinkuensi dalam kalangan remaja serta kaitannya dengan aspek sosial.

Sesi resensi ini telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, selain Timbalan Pengarah UUM Press, Rosma Ishak, serta pegawai-pegawai UUM Press.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mempromosikan karya terbaharu kepada khalayak, malah membuka ruang dialog intelektual yang sihat mengenai isu-isu sosial yang mendesak.

Kedua-dua buku ini boleh didapati di UUM Press Bookstore, The Mall UUM. – Nur Syahirah Mohd Fuzi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button