Business

Jualan Rahmah bantu pelajar tangani kos sara hidup

SINTOK, 19 Jun 2025: Program Jualan Rahmah merupakan satu inisiatif penting dalam mendekatkan usaha kerajaan kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu kos sara hidup.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, melalui program jualan berkonsepkan Rahmah, pengguna berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan, tanpa menjejaskan kualiti.

Jelasnya, program ini juga menjadi medan yang menggalakkan aktiviti ekonomi setempat, memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti, serta memberi peluang kepada para usahawan untuk memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat umum.

“Sambutan cukup menggalakkan kerana komuniti mengambil peluang untuk membeli barangan yang lebih murah.

“Dengan adanya program Asean Women Festival 2025 anjuran MPP UUM ini, kita bertuah dapat membawa Program Jualan Rahmah untuk mendekati masyarakat,” ujarnya.

Beliau mengalu-alukan kerjasama KPDN untuk bantu warga kampus dalam menangani tekanan ekonomi terutamanya pelajar B40 yang dapat mengambil kesempatan untuk membeli barangan yang menepati kehendak.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur, khususnya KPDN Kedah, atas penganjuran program ini yang bukan sahaja bermanfaat tetapi juga sangat relevan dengan kehendak rakyat pada masa kini.

“Semoga program ini berlangsung dengan jayanya, dan segala pengisian yang telah dirancang dapat memberi manfaat kepada semua yang hadir,” ucapnya ketika menyempurnakan majlis perasmian Program Jualan Rahmah @ Kampus UUM di Tapak Konvo, UUM, tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama untuk mengadakan Program Jualan Rahmah secara berkala.

Jelasnya, program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) adalah sebuah program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian  yang lebih murah daripada   pasaran setempat.

“Kita menyediakan pelbagai jenis barangan keperluan harian seperti beras telur ayam, gula, minyak masak  , tepung gandum, sayur-sayuran/buah-buahan, barangan penjagaan diri, barangan pembersihan rumah dan lain-lain barang keperluan harian,” katanya. 

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada UUM dan GPS yang merealisasikan program ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button