The Green Lantern UUM raih naib johan dalam Pertandingan Video Senior Changemaker
Gambar Wee Khai Nern
SINTOK, 23 Jun 2025: Pasukan “The Green Lantern” dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih naib johan dalam FLES 2025 Sustainability Video Competition – Senior Changemakers Category Act Now: A Green Future Starts With You, anjuran Youth Beyond Boundaries, UCSI University pada 21 Jun lalu.
UUM diwakili oleh Ketua Pasukan, Wee Khai Nern bersama Mariah Julia Herrmann (Universiti Malaya), Nur Suffiya Batrisya Alizan dan Nurul Najwa Mat Sa’at.
Khai Nern berkata, video berdurasi sekitar 3 hingga 5 minit ini telah dirakam sepenuhnya dalam tempoh dua minggu, dengan penggambaran dijalankan di pelbagai lokasi menarik seperti Sisiran Naib Canselor, Varsity Mall UUM, Genting Highlands dan Inapan Siswa Petronas, UUM.
Projek ini melibatkan kolaborasi hebat antara pelajar UUM dan UM yang membentuk pasukan The Green Lantern.
Kejayaan pasukan Green Lantern melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan sijil.
“Pengalaman ini membuka mata kami betapa pentingnya kolaborasi, kesedaran alam sekitar dan semangat kepimpinan dalam membina masa depan lestari.
“Walaupun penuh cabaran, setiap detik penggambaran meninggalkan memori bermakna,” kata Khai Nern.
Sementara wakil dari UM, Mariah berkata, apabila pelajar dari dua universiti bersatu demi mesej perubahan, hasilnya lebih kuat dan menginspirasikan.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus menjadi agen perubahan dalam komuniti,” katanya.
Terdapat dua kategori utama pertandingan, iaitu Young Changemaker (pelajar sekolah sekitar Lembah Klang) dan Senior Changemaker (pelajar IPT)
Selain UUM, turut mengambil bahagian adalah UCSI University, Universiti Malaya dan University of Nottingham.