Education

Pelajar UUM terima pendedahan dunia korporat melalui lawatan industri dan Majlis Graduasi HLA Padawan

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

PETALING JAYA, 24 Jun 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai HLA Padawan di bawah program School of Hard Knocks (SoHK) telah diraikan dalam Majlis Graduasi HLA Padawan di Hong Leong Assurance (HLA), dekat sini.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pegawai Agihan, Koh Hoe Shin, yang mengucapkan tahniah kepada graduan dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Beliau turut menekankan komitmen HLA dalam melahirkan bakat muda yang bersedia menghadapi cabaran industri insurans.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKPG) UUM, Dr. Fikriyah Abdullah, turut menzahirkan penghargaan kepada HLA atas pendedahan awal yang diberikan kepada pelajar untuk lebih memahami serta mengintai peluang dalam industri kewangan dengan lebih dekat.

“Program ini amat selari dengan hasrat UUM untuk melahirkan graduan holistik dan berketerampilan.

“Kami amat berbesar hati melihat pelajar kita didedahkan secara langsung kepada suasana kerja sebenar dan dibimbing oleh profesional industri yang berpengalaman,” katanya.

Sebelum majlis penyerahan sijil dilangsungkan, Ketua Bahagian Latihan HLA, Pusparajah Muthu Krishnansamy, menyampaikan ucapan penuh inspirasi yang menyentuh tentang kepentingan etika, profesionalisme dan semangat berterusan dalam menimba ilmu.

Beliau menzahirkan harapan agar para graduan dapat menjadi ejen perubahan dalam landskap industri insurans di Malaysia.

Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan sijil penyertaan, sebagai pengiktirafan kepada semua pelajar yang berjaya menamatkan program latihan bersama HLA. Antara pelajar yang menonjol ialah Thivagaran Arumugam, yang telah berjaya menamatkan Peperiksaan PCLI (Pre-Contract for Life Insurance and Investment-Linked Business) – syarat utama untuk menjadi ejen insurans berlesen. Kejayaan ini merupakan bukti kesungguhan dan dedikasi pelajar dalam membina asas kerjaya yang kukuh.

Sebagai penutup majlis, peserta turut berpeluang melawat fasiliti HLA dan menyaksikan sendiri operasi dalaman syarikat. Lawatan ini membuka ruang untuk mereka memahami struktur organisasi, aliran kerja, serta budaya korporat yang diamalkan dalam industri insurans moden.

Program ini bukan sahaja menjadi medan meraikan pencapaian pelajar, malah memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan industri ke arah melahirkan modal insan yang kompeten dan berdaya saing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button