Travel

Erasmus International Staff Training Week 2025  perkukuh kolaborasi global

SINTOK, 25 Jun 2025: Erasmus International Staff Training Week 2025 mencipta sejarah tersendiri dengan menghimpunkan seramai 52 peserta dari 45 universiti serata dunia, termasuk Tunisia, Ukraine, Morocco, Itali dan Sepanyol.

Para peserta terdiri daripada pegawai kanan pentadbiran universiti, penyelaras mobiliti antarabangsa, pensyarah serta wakil jabatan akademik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan globalisasi institusi masing-masing.

Program antarabangsa berprestij Edisi ke-15 ini dianjurkan oleh West University of Timișoara (UVT), Romania, sebuah institusi pengajian tinggi awam yang tersohor di Eropah dengan komitmen tinggi terhadap jaringan kerjasama akademik global.

Tiga objektif menjadi teras penganjuran program ini iaitu meningkatkan kefahaman tentang pelaksanaan program mobiliti antarabangsa seperti Erasmus+, membina kerjasama rentas institusi dalam aspek pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran, serta memperkenalkan warisan budaya tempatan kepada delegasi luar negara.

Bagi memastikan kesemua objektif ini tercapai secara menyeluruh, pihak UVT telah merancang pelbagai aktiviti komprehensif dan bermakna sepanjang lima hari program berlangsung.

Tirai program ini   dimulakan dengan aktiviti Registration & Info Session on Erasmus+ Mobilities. Aktiviti ini menjadi platform asas pemahaman terhadap pelbagai bentuk mobiliti antarabangsa yang ditawarkan di bawah Erasmus+, termasuk mobiliti staf dan pelajar, selain menerangkan panduan permohonan geran serta sistem sokongan yang tersedia.

Aktiviti ini turut memberi penekanan terhadap struktur pelaksanaan mobiliti, sekali gus menyumbang secara langsung kepada objektif pertama program.

Kefahaman yang lebih mendalam terhadap pelaksanaan mobiliti turut diperkukuh melalui aktiviti Good Practice Sharing yang menyaksikan pertukaran pengalaman antara institusi. Peserta berkongsi strategi pengurusan pelajar antarabangsa, pendekatan dalam menyelaras program pertukaran dua hala, dan contoh kejayaan pelaksanaan Erasmus+ yang boleh dijadikan model.

Aktiviti ini sangat berharga dalam memperkaya perspektif peserta terhadap pelbagai amalan terbaik di peringkat global.

Selain itu, aktiviti Job Shadowing in Relevant UVT Departments membolehkan peserta menyaksikan secara langsung operasi pentadbiran sebenar berkaitan mobiliti di UVT. Dari pemprosesan permohonan hinggalah kepada sistem sokongan akademik dan bukan akademik, aktiviti ini melengkapkan pemahaman menyeluruh tentang pelaksanaan mobiliti di peringkat institusi tuan rumah.

Dalam usaha membina kerjasama rentas institusi yang lebih kukuh, pelbagai aktiviti kolaboratif telah dirangka. Aktiviti Your University in 180 Seconds menjadi platform pengenalan ringkas institusi peserta, yang membolehkan mereka mempersembahkan kekuatan program akademik, bidang kepakaran serta keunikan institusi masing-masing. Sesi ini membuka ruang kepada peserta untuk mengenali potensi rakan kerjasama baharu dari pelbagai benua.

Manakala aktiviti How Does It Work? On Designing Intensive Programmes memberi pendedahan kepada reka bentuk kursus jangka pendek antarabangsa. Peserta dibimbing dalam aspek pemetaan hasil pembelajaran, penyelarasan pengajaran dan struktur pentadbiran bersama, yang membuka peluang untuk membina program akademik dua hala yang mantap dan berkualiti.

Lebih menarik lagi, aktiviti Individual Meetings with UVT Representatives telah memberi ruang kepada peserta meneroka kerjasama secara lebih terperinci mengikut bidang tumpuan masing-masing. Perbincangan bersasar ini meliputi penyelidikan bersama, pertukaran pensyarah, pembangunan modul serta penyelarasan pentadbiran akademik. Sesi ini menzahirkan potensi kerjasama strategik yang realistik dan bersifat jangka panjang.

Dalam mencapai objektif ketiga iaitu memperkenalkan budaya tempatan kepada delegasi antarabangsa, beberapa aktiviti telah dijalankan dengan pendekatan yang menarik. Antaranya, sesi An Insight into the Romanian Language and Culture memperkenalkan asas bahasa Romania kepada peserta. Ungkapan harian seperti Bună ziua (Selamat tengah hari), Mulțumesc (Terima kasih), Cum te numești? (Siapa nama awak?) dan Ce mai faci? (Apa khabar?) telah diajar dalam suasana santai dan menyeronokkan. Sesi ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta, malah memberi kemahiran asas untuk berinteraksi dengan komuniti setempat.

Lawatan berpandu bertajuk Timișoara Historical Guided Tour membawa peserta menjelajah lokasi bersejarah dan budaya utama di sekitar bandar Timișoara. Aktiviti ini memperkenalkan sejarah Romania dan kepelbagaian budayanya, menjadikan pengalaman peserta lebih bermakna dan menyeluruh.

Sementara itu, Multicultural Café – Cultural Exchange menjadi kemuncak pertukaran budaya apabila peserta diberi peluang untuk mempersembahkan elemen budaya negara masing-masing, seperti makanan tradisional, pakaian dan kesenian. Aktiviti ini menyerlahkan semangat saling menghormati dan keterbukaan budaya dalam kalangan komuniti akademik global.

Sebagai penutup program, satu kejutan istimewa telah diatur apabila pelajar UVT dari jurusan muzik mempersembahkan orkestra secara langsung yang mengujakan. Dalam suasana penuh keakraban dan semangat kekeluargaan akademik, para peserta berkongsi pengalaman, memberikan maklum balas dan menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama rentas sempadan pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, Erasmus International Staff Training Week 2025 bukan sekadar program latihan, malah merupakan landasan strategik ke arah pengukuhan jaringan antarabangsa, pemantapan kefahaman rentas budaya, dan penciptaan kolaborasi akademik yang lestari. – Dr. Aznita Samsi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button