Campus

Dari kampus ke dunia global

SINTOK, 25 Jun 2025: Pusat Pengurusan Teknologi Maklumat dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu sesi Ceramah Alumni yang merupakan salah satu sub-program daripada program tahunan STML Green Carnival, bertajuk “Sustainable Talents in Making: From Campus to Global World”. 

Program tersebut menampilkan alumni UUM,  Norashikin Rahmat, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) yang kini berkhidmat sebagai Project Manager di Maersk Sdn. Bhd.

Berbekalkan pengalaman lebih 12 tahun dalam industri logistik, Puan Norashikin telah berkongsi perjalanan kerjayanya yang penuh cabaran dan pengajaran, termasuk pengalaman semasa menjalani latihan industri serta usaha membina kerjaya dalam bidang logistik dan pengangkutan.

Para pelajar yang hadir didedahkan kepada realiti sebenar dunia pekerjaan, sekali gus membantu mereka mengenal pasti dan merancang hala tuju kerjaya masing-masing dengan lebih jelas. Pengisian ceramah ini juga selari dengan objektif utama program dalam membimbing pelajar agar lebih bersedia menempuh alam kerjaya.

Penceramah turut menekankan beberapa perkara penting seperti kepentingan ilmu pengetahuan, pembelajaran secara berterusan, penguasaan kemahiran komunikasi, panduan dalam permohonan kerja, penulisan resume yang berkesan, serta penyesuaian diri dalam budaya kerja korporat.

Perkongsian ini telah memberikan inspirasi dan motivasi kepada para peserta, terutamanya pelajar yang bakal menamatkan pengajian dan bersedia melangkah ke dunia pekerjaan.

Secara keseluruhannya, ceramah ini telah mencapai matlamatnya sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman sebenar industri. Program ini juga memberi input yang bermanfaat serta panduan berguna untuk membantu pelajar mengekalkan daya saing dan kelestarian kerjaya dalam dunia global yang semakin mencabar. – Dr. Fadhilah Mohd Zahari

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button