Campus

UUM Raikan Tahun Baru Islam dengan Semangat Hijrah dan Solat Hajat Perdana

Sintok, 27 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghidupkan suasana keinsafan dan keimanan sempena sambutan Maal Hijrah dengan mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Islam 1447H dan Solat Hajat Perdana di Stadium UUM, malam tadi.

Majlis anjuran Pusat Islam, MPP serta Kelab-Kelab Kerohanian Pelajar yang dihadiri kira-kira 800 orang ini menjadi platform utama untuk mengajak seluruh warga kampus dan masyarakat setempat menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat serta merancang hijrah menuju kehidupan yang lebih baik dan bermakna.

Dalam ucapannya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, menyeru warga kampus agar menjadikan tahun baru Islam ini sebagai permulaan untuk memperkukuh azam, kesungguhan dan kecemerlangan dalam segala bidang.

“Majlis ini sebagai tanda pengharapan dan tawakal kita kepada Allah SWT menjelang peperiksaan yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

“Solat hajat ini bukan sekadar rutin atau simbolik semata-mata, tetapi ia mencerminkan kebergantungan kita yang sepenuhnya kepada Allah SWT. Usaha yang gigih perlu diiringi dengan doa yang bersungguh-sungguh. Kita belajar, kita ulang kaji, tetapi akhirnya, yang menentukan keberhasilan ialah Allah Yang Maha Berkuasa,” ujarnya.

Jelasnya, kejayaan yang sebenar bukan sekadar memperoleh keputusan cemerlang, tetapi bagaimana kita berusaha dengan jujur, berdoa dengan yakin, dan menyerahkan kepada Allah dengan penuh reda.

“Ini adalah satu bentuk pendidikan rohani yang amat penting dalam membentuk pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi dan spiritual.

“Saya ingin menyuntik semangat kepada semua pelajar agar terus fokus, jaga kesihatan, jaga hubungan dengan ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan.

“Jangan lupa untuk memohon keampunan dan restu daripada mereka, kerana keberkatan itu akan membuka pintu-pintu kejayaan yang luas.

Tahun Baru Hijrah merupakan satu titik penting dalam sejarah Islam yang memperingati peristiwa agung hijrah Rasulullah SAW dalam membuka lembaran yang lebih baik. Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan fizikal, malah ia melambangkan perubahan besar dalam sistem sosial, politik dan pembinaan masyarakat Islam yang pertama. Ia menjadi simbol kepada perjuangan, pengorbanan dan tekad dalam memperjuangkan kebenaran dan mencari redha Allah SWT.

Dalam konteks semasa, semangat hijrah ini boleh dihayati sebagai proses meninggalkan keburukan, kelekaan dan kelalaian untuk berubah ke arah kebaikan dan kecemerlangan diri, khususnya dalam menghadapi ujian seperti peperiksaan akhir semester.

Menjelang peperiksaan, para pelajar perlu mengimbangi usaha zahir seperti mengulang kaji dan latihan akademik dengan kekuatan spiritual dan kerohanian. Solat hajat, doa dan amal ibadah lain adalah sebahagian daripada pendekatan holistik dalam mencari kejayaan dunia dan akhirat.

Acara diserikan dengan Bacaan Doa Awal Tahun yang dipimpin oleh Imam Jemputan, Qari Ammar Mukhlis (Johan Majlis Tilawah Al-Quran Negeri Kedah) diikuti solat berjemaah Maghrib, dan solat hajat yang penuh harapan.

Suasana bertambah hening apabila penceramah jemputan, Farhaan Rahmat, menyampaikan ceramah motivasi hijrah yang menekankan pentingnya semangat hijrah sebagai titik perubahan yang membuka lembaran baru untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Majlis Sambutan Tahun Baru Islam dan Solat Hajat Perdana di UUM bukan sahaja menyemarakkan tradisi keagamaan, malah mempereratkan ukhuwah dan semangat berpasukan dalam kalangan warga kampus, sebagai persediaan menghadapi cabaran tahun mendatang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button