Wacana Kehakiman Perlembagaan Bersama Yang Arif Dato’ Dr. Arik Sanusi
SINTOK, 30 Jun 2025: Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Jawatankuasa Seminar dan Latihan serta subjek GMGAK2013: Perlembagaan Malaysia menganjurkan program ilmiah berprestij bertajuk “Menjunjung Keadilan: Memahami Peranan Hakim dalam Sistem Perlembagaan Malaysia”, di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.
Program ini menghimpunkan lebih 250 peserta, terdiri daripada pelajar kursus Perlembagaan Malaysia serta warga kampus lain, termasuk peserta dari institusi luar termasuk Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Program ini menampilkan Yang Arif Dato’ Dr. Arik Sanusi Yeop Johari, Hakim Utama Mahkamah Negeri Kedah, yang telah menyampaikan syarahan ilmiah berkaitan struktur institusi kehakiman, proses pelantikan hakim, serta signifikan kebebasan badan kehakiman dalam menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Kehadiran beliau telah disambut di Anjung Tamu UUM oleh dua pegawai pengiring, iaitu Mohd Fadzli Suhaimi dan Muhammad Amir Izzat Abd Aziz, sebelum beliau diiringi ke lokasi program dengan bantuan pegawai Jabatan Keselamatan UUM.
Sepanjang sesi, Yang Arif menyampaikan wacana dengan pendekatan yang bersahaja namun padat dengan nilai intelektual dan pengalaman peribadi.
Antara yang paling memberi kesan ialah kisah emosional melibatkan kes pesalah juvenil yang terpaksa dijatuhkan hukuman akibat pertelingkahan berpunca daripada seketul ayam, mencerminkan kerumitan dan dilema etika yang dihadapi dalam sistem keadilan jenayah. Dalam masa yang sama, beliau sempat berseloroh dengan berkongsi bahawa antara detik paling menggembirakan beliau ialah apabila sesuatu kes berjaya diselesaikan secara damai di luar mahkamah.
Program ini bukan sahaja memperkaya pemahaman pelajar terhadap prinsip perlembagaan dan sistem kehakiman negara, malah memperkukuh apresiasi terhadap elemen semak dan imbang dalam amalan demokrasi berparlimen. Seorang peserta, Nur Mysarah Abdul Jalil, menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang mengujakan, terutamanya apabila mendengar secara langsung aplikasi sebenar prinsip kebebasan kehakiman daripada tokoh yang berpengalaman tinggi dalam bidang perundangan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed (Penasihat Undang-undang UUM), Prof. Madya Dr. Rozita Arshad (Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, merangkap wakil Dekan SOG), dan Syahril Said (Penyelaras Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian – BDM).
Program ini dimoderatorkan oleh Mokhtafizam Mokhtar yang turut berperanan sebagai penyelaras program BPM dan subjek GMGAK2013, manakala Dr. Zuliana Azwa Zulkifli pula merupakan antara pengendali majlis dan tenaga pengajar kursus tersebut.
Kelancaran program turut didukung oleh Adenin Azharramadhan bin Hamidi selaku pengerusi majlis dan Muhammad Faiez bin Fauzi selaku pembaca doa, serta dibantu oleh pasukan pelaksana dari kelas dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar UUM, khususnya Muhamad Nur Safwan Mohd Amin dan Ahmad Zafran Azfar Khairul Anuar, serta wakil Persatuan BPM, Nurul Shafiqah Aminudin.
Secara keseluruhan, program ini telah memperkukuh reputasi UUM sebagai institusi peneraju dalam pendidikan bidang pentadbiran dan perlembagaan, serta memperlihatkan komitmen berterusan universiti dalam membentuk warganegara yang berpengetahuan, beretika dan menjunjung prinsip keadilan dalam kerangka perundangan negara. – Dr. Zuliana Azwa Zulkifli