TIC adakan kunjungan hormat ke SOE dalam rangka kerjasama akademik dan penyelidikan
SINTOK, 30 Jun 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Taj International College (TIC) dalam satu sesi lawatan rasmi yang berlangsung di kampus utama UUM, Sintok.
Delegasi tersebut diketuai oleh Tina Dato’ Sri Haji Tajuddin, Pengerusi Eksekutif Taj International College yang juga merupakan penerima anugerah Wanita Ikon Perak 2024/25. Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Hj Othman, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), bersama barisan penjawat, pensyarah, dan staf pentadbiran.
Menurut Tina, kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian awam dan swasta, terutamanya menerusi pelaksanaan Program Perantis Guru Muda, yang merupakan salah satu inisiatif menangani isu kekurangan guru yang dikenal pasti sebagai isu kritikal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)”.
Sesi perbincangan dua hala yang berlangsung secara konstruktif ini memberi tumpuan kepada beberapa bidang kerjasama strategik, termasuk penyelarasan laluan akademik ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran; penempatan guru pelatih, guru ganti dan pembantu guru melalui saluran TIC; pembangunan modul bersama dan perkongsian kepakaran akademik; penyelidikan bersama melalui geran kebangsaan dan antarabangsa; serta penambahbaikan pelaksanaan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE).
Prof. Madya Dr. Mohd. Sobri Don @ A.Wahab selaku Pengurus Besar UUM Leeds Sdn. Bhd juga turut serta dalam sesi perbincangan ini yang menengahkan peranan UUM Leeds sebagai peneraju dalam bidang pendidikan jarak jauh dan sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pusat pengajian yang ingin menawarkan program akademik secara pendidikan jarak jauh dan menjalankan aktiviti perundingan bersama agensi luar.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati dan fotografi rasmi sebagai simbolik permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara Taj International College dan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia. Kunjungan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara secara bersepadu dan lestari. – SOE