Education

Program SULAM SOG pacu revolusi hijau di Felda Laka Selatan

Gambar SOG

BUKIT KAYU HITAM, 1 Julai 2025: Service Learning: Pemerkasaan Komuniti melalui Pertanian Vertikal, inisiatif daripada program SULAM bagi Kursus GMJTK 3113 Pentadbiran Alam Sekitar telah diadakan di Felda Laka Selatan.

Inisiatif ini adalah program bagi Semester A242, Sesi 2024/2025, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah mendapat sokongan dari Felda Laka Selatan, pihak E-Idaman Sdn. Bhd., dan Persatuan Pengurusan Pembangunan membabitkan seramai 82 pelajar dan 60 penduduk kampung.

Peserta menerima taklimat mengenai projek Pertanian Vertikal yang dikendalikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SOG, Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali yang memperkenalkan konsep pertanian moden berskala kecil kepada komuniti setempat sebagai langkah inovatif dan berdaya saing.

Menariknya, menurutnya, projek ini juga merupakan perintis kepada program SULAM untuk semester yang akan datang, di mana keberlanjutan projek ini akan diteruskan selama setahun.

Katanya, komuniti akan diberikan latihan tentang kaedah pelaksanaan pertanian vertikal secara manual, termasuk proses pemantauan dan penjagaan tanaman dari peringkat semaian hingga ke penjualan hasil sayur-sayuran.

Pendekatan ini bertujuan memastikan komuniti mampu menjalankan sendiri projek ini selepas latihan, seterusnya menggalakkan pengukuhan ekonomi dan kemandirian masyarakat.

Selain itu, aktiviti pembentangan isu-isu alam sekitar dan aktiviti kitar semula bersama E-Idaman Sdn. Bhd. membantu meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan sisa dan amalan mesra alam. Penduduk kampung turut diberi peluang menjual hasil kitar semula dan sayur-sayuran segar, yang sebahagiannya akan dipasarkan melalui program ini.

Matlamat utama program ialah mengenalpasti penduduk yang berpotensi menjayakan projek Pertanian Vertikal serta meningkatkan kesedaran akan pentingnya pemeliharaan alam sekitar dan peluang ekonomi berasaskan pertanian mampan.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja mempererat hubungan universiti dan komuniti luar bandar, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu mereka secara praktikal, sambil memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat. – Dr. Noranida Mokthsim

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button