Education

INNOPITCH Gala Night dan Anugerah Dekan 2025, iktiraf kecemerlangan akademik dan inovasi SCIMPA

Gambar SCIMPA

JITRA, 1 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis INNOPITCH Gala Night dan Anugerah Dekan 2025 bagi menghargai pencapaian pelajar SCIMPA di Dewan BDB, Jitra, baru-baru ini.

Majlis yang berkonsepkan tema retro ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada pencapaian akademik pelajar, malah turut mengiktiraf inovasi menerusi projek tahun akhir yang dipertandingkan dalam platform INNOPITCH.

Lebih 170 tetamu menghadiri majlis tersebut termasuk pelajar, pensyarah dan staf pentadbiran SCIMPA termasuk Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail yang menyampaikan ucapan penghargaan dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelajar.

Seramai 83 pelajar menerima Anugerah Dekan setelah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.67 ke atas, sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan akademik mereka.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah utama INNOPITCH Champion (Best Final Year Project) yang dimenangi oleh Ooi Lin Na, Angie Wong Xuan Qi, Leong Jia Wen dan Khor Ghee Sheng di bawah bimbingan Dr. Hanis Salwani Othman dengan menerima trofi berserta wang tunai RM200.

Tempat kedua dimenangi oleh Noor Anisya Ayuni Abdullah (Penyelia: Mohd Idzwan Yacob) yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM150, manakala tempat ketiga disandang oleh Nur Syazwana Razali (Penyelia: Dr. Siti Salmi Jamali) dengan menerima hadiah trofi dan wang tunai RM100.

Majlis diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan, tayangan montaj pencapaian pelajar serta sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah eksklusif, menjadikan malam tersebut penuh bermakna dan meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Penganjuran majlis ini diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi meraikan kejayaan warga SCIMPA, sekali gus menyuntik motivasi untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan inovasi di peringkat universiti mahupun kebangsaan. – Dr. Amalia Rosmadi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button